Ulasan Lenovo Legion Go S – Menarik dan Boleh ‘Go’
Nur Amzari
Semakin hari semakin menarik penawaran konsol mudah alih di dalam pasaran seperti Nintendo Switch 2 dilancarkan dan juga ROG Xbox Ally yang baru sahaja diumumkan. Lenovo juga telah memperkenalkan Legion Go S pada awal tahun ini dan saya berpeluang untuk mencuba konsol ini selama 2 minggu dan ini adalah ulasan penuh untuk Lenovo Legion Go S.
Spesifikasi Dan Rekaan
| Lenovo Legion Go S | |
|---|---|
| Skrin | 8″ Full HD(1920×1200) IPS, 120Hz, Sesentuh |
| CPU | AMD Ryzen Z2 Go |
| GPU | AMD Radeon RDNA 2 |
| RAM | 16GB LPDDR5X-7500MHz |
| Muatan Dalaman | 512GB PCIe Gen4 |
| Kamera Utama | Tiada |
| I/O | 2x USB4 1x 3.5MM Audio 1x pembaca kad microSD |
| Bateri | 55.5WHr (3 Sel) Pengecasan 65W |
| SIM/Telefoni | Tiada |
| WiFi | WiFi 6E |
| Bicu Audio | Ya |
| Kalis Air | Tiada |
| Sistem Imbasan | Tiada |
| Harga Jualan | RM3299 (Windows 11) |
Legion Go S menggunakan skrin jenis LCD bersaiz 8 inci dengan resolusi FHD. Pada awalnya, saya agak kekok dengan skrin pada Legion Go S ini kerana ia menggunakan nisbah 16:10 namun setelah dua minggu penggunaan saya sudah terbiasa dengan skrin ini. Selain itu, ia turut hadir dengan kadar segar semula 120Hz untuk memastikan kelancaran yang maksimum semasa sesi permainan. Walaupun tidak menggunakan panel OLED, skrin yang terdapat pada Legion Go S ini agak mengejutkan kerana penghasilan warnanya sangat baik dan ditambah dengan kecerahan skrin setinggi 500 nit.

Sejujurnya, rekaan pada Legion Go S ini kelihatan kemas tapi ia mengingatkan saya pada ROG Ally lagi-lagi dengan penggunaan warna putih ini cumanya rekaan pada Legion Go S ini kurang berkotak berbanding ROG Ally. Saya sangat hargai lekuk yang terdapat pada bahagian kiri dan kanan Legion Go S kerana ia sangat ergonomik dan selesa untuk dipegang semasa sesi permainan yang panjang.


Port sambungan seperti USB-C dan lubang audio audio 3.5mm diletakkan di bahagian atas konsol ini dan hanya slot untuk kad microSD sahaja yang terletak di bahagian bawah konsol ini. Kesemua butang yang ada pada Legion Go S ini sedap untuk ditekan dan responsif. Stik analog ini sudah hadir dengan ciri hall effect untuk mengurangkan risiko terjadinya stick drift.

Butang picu kiri dan kanan ini boleh dikunci untuk respon yang pantas dalam permainan pertempuran FPS dan sebagainya. Bahagian belakang pula terdapat dua butang tambahan yang boleh ditetapkan mengikut pengguna. Dari segi estetik, hanya stik analog ini sahaja yang menyala dengan lampu RGB. Pada Legion Go S ini juga terdapat touchpad namun bagi saya saiznya agak kurang praktikal untuk digunakan, perkara yang baiknya trackpad ini sangat responsif untuk digunakan.

Buat masa sekarang, Legion Go S ini hanya terdapat dapat dalam versi Windows sahaja untuk pasaran Malaysia. Untuk cip pemproses, ia menggunakan cip dari AMD iaitu Ryzen Z2 Go dengan 16GB LPDDR5X pada 7500MHz dan boleh ditambah sehingga 32GB. Storan yang dibekalkan pula adalah 512GB yang turut boleh ditambah sehingga 1TB.
Pengalaman Penggunaan
Jika mahu bercakap tentang prestasi pada Legion Go S ini pada pendapat saya ia dapat memberikan prestasi yang sangat baik dan lancar sepanjang saya menggunakannya dan pada awal saya menggunakan konsol ini saya hanya menggunakan tetapan permainan yang diberikan namun anehnya tetapan yang diberikan semuanya agak tinggi untuk konsol ini.
Sejujurnya saya hanya banyak bermain permainan bersifat perlumbaan pada Legion Go S ini seperti Need For Speed Heat dan juga CarX Drift PC. Untuk Need For Speed Heat permainan boleh dijalankan dalam tetapan tinggi dan kadar bingkai juga sangat stabil namun jika ada berlaku sesi kejar mengejar dengan kereta polis yang banyak kadar bingkai mula menurun dengan agak ketara. Jadi saya hanya bermain permainan ini pada tetapan pertengahan untuk pengalaman yang lebih baik. Untuk CarX Drift PC ia tiada masalah untuk menjalankan permainan ini pada tetapan yang tertinggi.

Saya ada juga mencuba permainan pertempuran seperti Sifu dan pada awal saya melancarkan permainan ini ia terus memberikan tetapan tertinggi namun ia sangat tidak lancar dengan kadar bingkai yang rendah. Selepas menukarkan kepada tetapan sederhana tinggi permainan terus menjadi lancar tapi ia masih lagi ada lag selepas memasuki peta baharu dan selepas simpan permainan. Selain itu, saya turut mencuba Resident Evil 2 dan permainannya sangat lancar ditambah dengan kadar bingkai yang sangat stabil.

Perkara yang mengagumkan saya pada Legion Go S ini adalah kawalan suhunya. Sepanjang saya bermain suhunya tidak terlalu panas dan walaupun kipas di belakang ini berpusing agak kuat ia masih lagi tidak terlalu bising mungkin kerana saiznya yang kecil.

Legion Go S ini terdapat perisian sendiri iaitu Legion Space yang membolehkan pengguna menukar prestasi, efek lampu RGB pada stik analog, membeli dan melancarkan permainan terus dari perisian ini. Antaramuka di dalam perisian ini kemas, teratur dan tidak memeningkan kepala untuk menggunakannya. Sejujurnya, saya sendiri kurang menggunakan perisian ini dan hanya menggunakan quick setting yang boleh diakses dengan lebih cepat.

Legion Go S ini menggunakan sistem operasi Windows 11 dan mungkin ada beberapa orang yang kurang gemar Windows 11 pada konsol mudah alih ini namun sepanjang saya menggunakannya tiada masalah besar cuma pada awal penggunaan agak kekok sedikit untuk menyesuaikan untuk menggunakan sistem operasi ini pada skrin yang kecil dan juga papan kekunci digital.
Audio
Kualiti audio yang dihasilkan Legion Go S ini juga agak baik kerana ia menggunakan pembesar suara jenis stereo yang menghala ke hadapan jadi audio yang dikeluarkan cukup baik untuk sesi permainan walaupun tiada apa-apa sokongan seperti Dolby Atmos. Jika anda mahukan, bunyi audio yang lebih tepat, saya sarankan untuk menggunakan sahaja fon telinga sama ada berwayar ataupun nirwayar untuk pengalaman yang lebih baik.

Bateri
Bateri pada Legion Go S ini adalah sebesar 55.5WHr menggunakan 3-sel. Secara atas kertas, kapasiti baterinya lebih besar berbanding Legion Go, ROG Ally dan juga MSI Claw namun realitinya ia masih lagi memberikan prestasi lebih kurang dengan pesaingnya. Paling lama saya dapat menggunakannya adalah sekitar 2 jam, ini juga bergantung kepada jenis permainan dan juga tetapan dalam permainan tersebut. Dari segi pengecasan, ia menggunakan pengecasan 65W.

Apa Dalam Kotak?
- Lenovo Legion Go S
- Pengecas 65W
- Manual Pengguna
Kesimpulan

Saya telah menggunakan Legion Go S untuk menjadikannya konsol mudah alih selama dua minggu dan sebagai seorang yang pertama kali menggunakan konsol mudah alih, Legion Go S memberikan pengalaman yang sangat baik. Saya memang tiada apa-apa masalah atau isu yang besar sepanjang tempoh percubaan. Akhir kata, jika anda mencari sebuah konsol mudah alih yang menggunakan Windows mungkin Lenovo Legion Go S ini boleh dipertimbangkan.
Pro
- Prestasi yang mencukupi
- Rekaan ergonomik dan sedap dipegang
- Paparan yang cantik dan terang
- Kualiti audio yang sedap
Kontra
- Agak berat
- Touchpad yang kecil dan kurang praktikal
- Ketahanan bateri masih sama seperti pesaing
