Adobe Project Indigo Dilancarkan – Aplikasi Kamera Daripada Jurutera Kamera Google Pixel
Effi Saharudin
Adobe secara senyap melancarkan Project Indigo yang merupakan aplikasi kamera yang menggunakan kuasa perkomputeran bagi menangkap gambar berkualiti seakan SLR. Antara yang terlibat dalam pembangunan Project Indigo ialah Marc Levoy yang merupakan jurutera membangunkan aplikasi kamera Google Pixel sebelum berpindah ke Adobe.

Aplikasi memberikan kawalan manual untuk mengambil gambar serta bergantung kepada situasi sehingga 32 gambar dalam pelbagai dedahan digabungkan untuk menghasilkan satu imej. Hasilnya ialah gambar dengan julat dinamik dan HDR lebih baik serta pada waktu yang sama mempunyai hingar lebih rendah. Teknik menggabungkan pelbagai bingkai gambar ini juga menghasilkan gambar lebih tajam dalam mod zum digital.
Mod manual memberikan kawalan fokus, kelajuan pengatup, ISO, dedahan dan imbangan warna putih. Tetapi juga ciri long exposure yang membuatkan pergerakan air dan orang rama misalnya nampak kabur dengan imej statik kelihatan tajam.

Menurut Levoy, gambar yang diambil menggunakan Project Indigo turut kelihatan lebih semula jadi berbanding diambil menggunakan kamera telefon biasa. Gambar diambil dalam format RAW dan JPEG yang kemudiannya boleh disunting terus menggunakan Lightroom terus dari dalam aplikasi. Adobe Project Indigo hanya boleh dimuat turun pada iPhone 12 Pro dan ke atas menerusi pautan di bawah.
[download] Project Indigo [/download]