Ini Cara Mendapatkan Suntikan Vaksin Dos Penggalak Covid-19 Di Malaysia Menggunakan MySejahtera
Effi Saharudin
Seperti kami laporkan hari ini, kes kematian pertama disebabkan oleh Covid-19 sejak Mei 2024 dicatatkan pada minggu lalu. Individu meninggal dunia disebabkan komorbiditi penyakit diabetes yang dihidapinya. Walaupun pandemik sudah berubah status menjadi endemik di Malaysia, bagi mereka yang mempunyai komorbiditi mendapatkan suntikan vaksin dos penggalak amatlah disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekarang disebabkan peningkatan kes.
Jadi bagaimanakah cara mendapatkan suntikan vaksin dos penggalak di Malaysia hari ini? Jawapannya mudah iaitu menerusi aplikasi MySejahtera seperti mendapatkan vaksin asal beberapa tahun lalu. Muat turun aplikasi dan log masuk menggunakan akaun yang didaftarkan sebelum ini. Jika terlupa terdapat ciri menetapkan semula kata laluan.

1.Pergi ke muka utama aplikasi.
2.Pergi ke ikon Janji Temu (Appointments).
3.Pilih nama individu yang ingin menerima vaksin. Bagi ibu bapa atau penjaga nama anak akan dapat dilihat di skrin ini.

4.Pilih Perkhidmatan Vaksinasi COVID-19 untuk Orang Awam.
5.Cari fasiliti Klinik Kesihatan berhampiran dalam kotak carian.
6.Pilih lokasi pilihan.
7.Pilih tarikh dan slot masa.
8.Sahkan tarikh dan waktu.

9.Skrin pengesahan akan dipaparkan.
10. Jangan lupa membawa MyKad/MyKid dan kad janji temu MySejahtera.
11. Anda boleh mengubah tarikh atau membatalkan temu janji daripada skrin Janji Temu