Nothing Phone (3) Akan Menggunakan Sistem Lampu Glyph Matrix
Amy Maizuraa
Ucapkan selamat datang kepada ciri baharu Glyph Matrix! Persoalan kini terjawab apabila Nothing berkongsi kemaskini terbaharu yang mengesahkan Glyph Maxtrix akan menggantikan sistem lampu Glyph yang digunakan sebelum ini.

Ciri ini bakal diperkenalkan pada peranti Nothing Phone (3) yang akan datang. Perkara ini sekaligus mengiyakan andaian ramai bahawa Nothing akan menggunakna sistem matriks. Bagaimanapun, konsep ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam industri memandangkan ASUS juga pernah menggunakan pendekatan serupa pada beberapa peranti gaming mereka.

Menariknya Glyph Matrix ini diletakkan di sebelah kanan peranti dan bukanlah di bahagian tengah seperti digembar-gemburkan sebelum ini. Buat masa ini, masih belum dapat dipastikan bagaimana Glyph Matrix akan berfungsi namun dijangka mampu memaparkan maklumat menarik termasuk notifikasi sepertimana dilakukan oleh ASUS.

Nothing turut mengesahkan beberapa spesifikasi utama peranti ini. Ia akan dijana oleh cip Snapdragon 8s Gen 4 dan syarikat menjanjikan sokongan kemaskini perisian sekurang-kurangnya selama tujuh tahun. Untuk maklumat lanjut, nantikan pelancaran rasmi pada 1 Julai 2025 ini.