MSI Memperkenalkan Berkas Komputer Bertemakan Toy Story Khas Untuk Pasaran Taiwan
Nazrin
Adakah anda seorang millenial yang membesar dengan siri filem animasi Toy Story? MSI baru-baru ini telah memperkenalkan sejumlah produk komponen komputer yang hadir dengan tema filem animasi tersebut.

Komponen-komponen ini dibangunkan dengan kerjasama bersama Disney dan juga Pixar untuk menyambut ulang-tahun ke-30 filem tersebut yang dinamakan MAG PANO Toy Story Edition PC.

Set komputer ini terdiri daripada rangka komputer MAG PANO 110R Toy Story Edition, MSI GeForce RTX 5070 Gaming Trio Toy Story Edition, MSI Z890 GAMING PLUS Toy Story Edition, bekalan kuasa MAG A850GL PCIE5 Toy Story Edition dan penyejuk CPU MAG CORELIQUID Toy Story Edition.

Menurut MSI, mereka yang berminat untuk membina komputer bertemakan Toy Story ini boleh menempahnya melalui laman web MSI Taiwan sekarang pada harga 79,900TWD (~RM11500) dan hanya akan diperkenalkan khusus untuk pasaran negara tersebut. Apabila set komputer ini habis dipra-tempah, ia tidak akan dihasilkan lagi.

Menariknya, pra-tempahan komputer ini juga hadir dengan pilihan untuk pemasangan sekiranya pembeli tidak begitu arif tentang pemasangan komputer. MSI mengatakan bahawa komponen-komponen ini akan dihantar kepada pembeli bermula bulan Julai ini.
[sumber]MSI Taiwan[/sumber]