Ini Gambar Pertama Diambil Balai Cerap Vera C. Rubin Menggunakan Kamera Terbesar Dunia
Effi Saharudin
Kami telah mengikuti proses pembinaan kamera terbesar dunia Legacy Survey of Space and Time (LSST) yang dilengkapi sensor sebesar 3.2 Gigapixel sejak 2022. Hari ini Balai Cerap Vera C. Rubin berkongsi dua imej pertama yang berjaya ditangkap oleh LSST selepas ia mula beroperasi di balai cerap yang terletak di atas gunung Cerro Pachón, Chile.

Imej pertama di atas adalah Nebula Trifid dan Lagoon yang terletak beberapa ribu tahun cahaya daripada bumi. Gambar gergasi ini dihasilkan dengan menggabungkan 678 gambar yang diambil menerusi cerapan selama 7 jam.

Gambar kedua yang dikongsi pula ialah kluster Virgo yang dipercayai mengandungi sehingga 2000 galaksi. Dalam gambar yang dikongsi beberapa galaksi berbentuk lingkaran dapat dilihat dengan jelas.
Balai Cerap Vera C. Rubin akan mengambil gambar angkasa setiap 3 hari selama 10 tahun dengan harapan ia akan mencari 20 bilion galaksi dan 17 bilion bintang baharu yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Ia dinamakan sempena mendiang Vera C. Rubin, seorang ahli astronomi yang menemukan kewujudan jirim gelap.

Setiap satu gambar yang diambil kamera LSST adalah sebesar 6.4 gigabyte dengan 20 TB data akan dikumpulkan setiap malam. Ini bersamaan data menonton Netflix selama tiga tahun secara berterusan atau menstrim Spotify selama 50 tahun secara berterusan. Sepanjang tempoh operasi selama 10 tahun, data yang dikumpul Balai Cerap Vera C. Rubin akan memerlukan storan sebesar 60 petabytes (60,000,000 gigabyte).
