Insiden Kecurian Kabel Dan Komponen Mungkin Menangguhkan Projek ECRL Selama 6 Bulan
Nazrin
Projek kereta api East Coast Rail Link yang menyambungkan negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia ke Kuala Lumpur telah bermula dari Ogos 2017, dan dijangka akan memulakan operasi pada penghujung 2026 ataupun awal 2027.
Sayangnya, baru-baru ini ia telah dilaporkan bahawa terdapat beberapa insiden kecurian yang telah berlaku, dimana kelengkapan seperti kabel isyarat sepanjang 1200 meter dan 81 unit transformer elektrik telah dicuri sepanjang landasan kereta api yang sudahpun disiapkan.
Pihak Malaysia Rail Link mengatakan bahawa insiden-insiden ini dilakukan oleh pencuri menggunakan kelengkapan biasa seperti pemotong dawai, dan mempunyai kenderaan yang boleh digunakan untuk melarikan kelengkapan-kelengkapan tersebut dengan cepat.

Menurut laporan The Star, pencuri dilaporkan telah mencuri kelengkapan dari sekurang-kurangnya tujuh stesen ECRL, termasuklah Paya Besar, Cherating dan Kuantan Port City di Pahang; Chukai, Dungun dan Kemasik di Terengganu dan Pasir Puteh di Kelantan.
CEO MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak mengatakan bahawa insiden kecurian kabel adalah sesuatu yang biasa berlaku. Tetapi untuk projek ECRL, kelengkapan-kelengkapan yang digunakan dibangunkan secara khusus untuk projek tersebut dan akan mengambil masa sehingga enam bulan untuk mendapatkan tempahan baru.

Beliau turut mengatakan bahawa membaiki sambungan kabel isyarat dan transformer elektrik di stesen-stesen ini dan memastikannya beroperasi dengan lancar mungkin akan menyebabkan MRL terpaksa menunda pembukaan perkhidmatan kereta api ECRL.
Perkhidmatan kereta api ECRL ini sepatutnya memulakan fasa ujian sekitar bulan Jun 2026 sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada penghujung 2026, dan memulakan operasi pertama pada Januari 2027. Pada awal bulan Mei 2025, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengatakan bahawa projek ECRL sudahpun 82.45 peratus siap dibangunkan.
Buat masa ini, pihak MRL sedang bekerjasama dengan pihak polis untuk cuba mencari pencuri-pencuri ini, dan menanyakan kepada pihak-pihak seperti perniagaan mengumpul barangan sekerap dan barangan kitar semula untuk melihat sama ada kelengkapan-kelengkapan tersebut sudah dijual ataupun tidak.
Mereka juga akan mula memasang CCTV di kawasan-kawasan pembinaan stesen ini untuk cuba mengekang kes pencurian kelengkapan di masa akan datang.
[sumber]The Star[/sumber]