Tecno Pova 7 Ultra Kini Rasmi – Skrin 144Hz, Cip Dimensity 8350 Ultimate Dan Bateri 6000mAh
Amy Maizuraa
Tecno telah melancarkan siri Pova 7 secara global. Generasi baharu ini menampilkan pelbagai peningkatan menarik dari segi rekaan dan perkakasan dalaman. Selain itu, ia turut hadir dengan versi Ultra yang merupakan model paling berkuasa dalam keseluruhan siri tersebut.

Tecno Pova 7 Ultra dilengkapi cip Dimensity 8350 Ultimate, iaitu pemproses yang turut digunakan pada Infinix GT 30 Pro. Ia menampilkan bateri berkapasiti besar 6000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 70W, pengecasan nirwayar 30W, serta pengecasan berbalik 10W. Tecno turut menyertakan sistem penyejukan 12 lapisan untuk memastikan suhu peranti kekal terkawal.

Skrin AMOLED 6.78-inci 1.5K pula menyokong kadar segar semula 144Hz dan menawarkan kecerahan puncak mencecah 4500 nits. Sistem kamera utama terdiri daripada kombinasi 108MP + 8MP, manakala kamera hadapan menawarkan resolusi 13MP. Dari segi reka bentuk, Pova 7 Ultra diinspirasikan daripada konsep kapal angkasa, lengkap dengan mini LED mengelilingi modul kameranya untuk sentuhan futuristik.

Tecno Pova 7 4G turut dilancarkan dalam acara yang sama, yang menampilkan cip Helio G100 Ultimate. Peranti ini hadir dengan skrin bersaiz 6.78 inci FHD+ yang menyokong kadar segar semula 120Hz. Selain itu, ia dilengkapi sistem dwi-kamera belakang dengan sensor utama 108MP + 2MP manakala kamera hadapan 8MP. Salah satu tarikan utama ialah bateri berkapasiti besar 7,000mAh dengan pengecasan pantas 45W
Tecno turut memperkenalkan beberapa versi lain seperti Tecno Pova 7 5G dan Pova 7 Pro, namun maklumat lanjut tentang spesifikasi kedua-duanya masih disenaraikan sepenuhnya setakat ini.