Pelayar Web Comet Kini Memulakan Ujian Beta Tertutup Untuk Pengguna Windows
Nazrin
Pada awal tahun ini, syarikat pembangun teknologi AI Perplexity telah mengumumkan bahawa mereka akan memperkenalkan perisian pelayar web mereka sendiri yang dinamakan Comet yang akan hadir dengan sejumlah teknologi kecerdasan buatan yang akan memudahkan carian internet pengguna, dan menyesuaikannya mengikut kegunaan sendiri.
Pada awal bulan lepas, mereka telah mula menguji pelayar web tersebut pada platform MacOS, dan kini, CEO Perplexity, Aravind Srinivas telah mengesahkan bahawa versi Windows juga sudah mula diuji secara tertutup oleh beberapa pengguna terpilih.
Kelebihan pelayar web Comet dapat dilihat melalui integrasi kecerdasan buatan, dimana pengguna boleh menanyakan soalan melalui bar carian, mencari kod diskaun untuk pembelian atas-talian dan mencari emel tertentu dengan mudah.
Malah, Comet juga dilihat sedang menguji integrasi ciri Try On, dimana pengguna boleh menggunakan GenAI untuk melihat diri mereka memakai pakaian yang mereka mahu beli, sedikit sebanyak membolehkan mereka mencuba pakaian tersebut dan melihat jika ia sesuai sebelum membelinya.
Buat masa ini, beliau juga mengesahkan bahawa pelayar web versi Android dan iOS sedang dibangunkan, dan butiran selanjutnya mengenai versi-versi tersebut akan diumumkan di masa akan datang. Pelancaran rasmi pelayar web Comet ini tidak diketahui lagi, tetapi jangkaan kami ialah ia akan tiba secara rasmi tidak lama lagi.