Perkhidmatan Grab EV Dari KLIA Terminal 1 Dilancarkan Secara Rasmi
Nazrin
Pada minggu lepas, kami telah melaporkan bahawa Grab Malaysia telah mula menguji penawaran perkhidmatan seru-pandu Grab EV di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 1) yang menggunakan barisan kenderaan EV BYD M6 untuk keluarga ataupun kumpulan kecil yang pulang dari luar negara dan mahu mencuba menggunakan khidmat kenderaan EV sebagai pengangkutan.

Dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke, perkhidmatan pengangkutan EV ini dibangunkan melalui kerjasama diantara beberapa pihak, termasuklah Grab, BYD Sime Motors, Yinson GreenTech, dan Power-Up Tech (P.UP) dan merupakan sebahagian daripada rancangan pihak kerajaan untuk mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik secara lebih meluas di Malaysia.
Kami telah menanyakan kepada pihak Grab tentang siapakah yang boleh mendaftar untuk memandu untuk perkhidmatan ini, dan telah diberitahu bahawa buat masa ini, mereka akan menggunakan kenderaan-kenderaan BYD M6 melalui kerjasama bersama BYD Sime Darby terlebih dahulu. Di masa akan datang, Grab Malaysia mengatakan bahawa mereka akan melanjutkan perkhidmatan ini kepada pemandu-pemandu kenderaan elektrik lain.
Pada minggu lalu, kedatangan perkhidmatan Grab EV telah diacahkan, dimana Grab menawarkan perkhidmatan seru-pandu kenderaan EV dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke mana-mana lokasi di Lembah Klang.


Pilihan Grab EV ini sudahpun diterapkan kedalam ciri Grab Car apabila anda memilih KLIA sebagai lokasi berlepas, sama seperti apa yang kita lihat apabila mereka menguji ciri ini pada minggu lepas.
Kini, ia dapat dilihat bahawa perkhidmatan tersebut telah diaktifkan di lapangan terbang tersebut, dan boleh diakses melalui aplikasi Grab, seperti yang diperlihatkan terlebih dahulu oleh Soya Cincau. Perkhidmatan seru-pandu EV ini nampaknya akan menggunakan kenderaan elektrik BYD M6 berdasarkan penyenaraian pada aplikasi itu sendiri, sesuai jika anda bersama keluarga ataupun kumpulan 4-5 orang.

Seperti yang kami katakan sebelum ini juga, untuk perkhidmatan Grab EV ini, anda boleh menaikinya di aras tiga (ketibaan) di pintu empat yang telah ditetapkan sebagai lokasi tetap khusus untuk perkhidmatan ini. Grab juga telah memperkenalkan ruang menunggu EV berdekatan pintu tersebut untuk orang ramai menunggu ketibaan kenderaan EV mereka.