Pemandangan Street View Lama Kini Boleh Diakses Menerusi Google Earth
Effi Saharudin
Google Street View mula ditawarkan di Malaysia pada tahun 2013 dengan setakat ini lebih 90% jalan-jalan awam dalam negara sudah berjaya dipetakan. Sekak dari awal pengenalannya, Street View amat berguna untuk perancangan perjalanan. Saya misalnya akan pergi ke Street View untuk melihat lokasi parkir dan melihat rupa kedai yang belum pernah dilawati sebelum melakukan pemanduan.
Sempena ulang tahun Google Earth ke-20 semalam, Google mengaktifkan ciri mengakses pemandangan Street View lama terus dari dalam aplikasi. Sebelum ini hanya gambar Street View terkini boleh dilihat pengguna. Menerusi ciri ini, pengguna dapat kembali ke masa silam dan melihat perubahan kawasan sekeliling.

Untuk mengakses ciri ini, pergi ke Google Earth dan kemudian pilih untuk melihat jalan menggunakan mod Street View. Anda akan dapat melihat menu “See more dates” di bucu atas kanan skrin. Pilihan pemandangan lama akan disenaraikan. Jumlah pemandangan lama yang boleh dilihat adalah bergantung pada lokasi. Di kawasan perumahan saya misalnya hanya satu pemandangan lama boleh diakses tetapi di Menara Berkembar PETRONAS pula 7 pemandangan lama boleh dipilih.
Terdapat beberapa insiden tular di Indonesia baru-baru ini apabila gambar lama Street View digunakan untuk melihat bagaimana pondok menjual lidi sate menjadi semakin usang selepas pasangan tua yang mendiaminya meninggal dunia. Bagi mereka bernostalgia, kini Google Earth boleh digunakan sebagai portal ke masa lampau.