Siri Oppo Reno14 Memasuki Pasaran Global – Cip Dimensity 8450 Dan Kamera 50MP
Amy Maizuraa
Siri telefon pintar terbaru Oppo Reno14 kini dilancarkan di pasaran global bermula di Taiwan. Ia masih mengekalkan elemen rekaan dan spesifikasi dalaman yang sama seperti model yang diperkenalkan di China. Namun begitu, terdapat penambahan satu lagi varian baharu iaitu Reno14F yang disasarkan sebagai model lebih mampu milik berbanding yang lain dalam siri ini.

Oppo Reno14 Pro versi global hadir dengan paparan AMOLED bersaiz 6.83-inci beresolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Ia dikuasai oleh cip MediaTek Dimensity 8450 dengan memori 12GB RAM LPDDR5X serta storan dalaman 512GB UFS 3.1. Bateri berkapasiti 6200mAh menyokong pengecasan pantas 80W.
Dari segi kamera, peranti ini dilengkapi sistem tri-kamera utama 50MP serta kamera swafoto 50MP. Antara ciri tambahan menarik lain termasuklah pengimbas cap jari di bawah skrin, sokongan NFC, Bluetooth 5.4, dan sistem operasi ColorOS 15.0.

Oppo Reno14 tampil dengan paparan AMOLED berukuran 6.59 inci beresolusi FHD+ (1256 x 2760 piksel) serta kadar segar semula 120Hz. Peranti ini dijana cip MediaTek Dimensity 8350 bersama memori 12GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 512GB UFS. Ia turut memuatkan bateri berkapasiti 6000mAh yang menyokong pengecasan pantas 80W.
Sistem kameranya terdiri daripada gabungan tiga sensor utama 50MP + 50MP + 8MP sementara itu kamera hadapan pula beresolusi tinggi 50MP. Ciri tambahan menarik termasuk pengimbas cap jari di bawah skrin serta antaramuka ColorOS 15.0 berasaskan Android 15.

Sementara itu, Oppo Reno14F hadir dengan paparan AMOLED bersaiz 6.57 inci beresolusi FHD+ (2372 x 1080 piksel) serta kadar segar semula 120Hz. Ia dikuasai cip Snapdragon 6 Gen 1 yang dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM LPDDR4X dan storan dalaman 512GB. Peranti ini turut dilengkapi bateri berkapasiti 6000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 45W.
Untuk fotografi, ia menawarkan sistem tri-kamera utama 50MP + 50MP + 8MP manakala kamera swafoto pula turut menggunakan sensor 50MP. Ciri tambahan termasuk pengimbas cap jari di bawah skrin, sokongan NFC, Bluetooth 5.4 dan sistem operasi ColorOS 15.0.