Air Selangor Mengatakan Bekalan Air Negeri Mencukupi Untuk Menampung Operasi Pusat Data
Nazrin
Malaysia kini berada dalam satu fasa pembangunan ekonomi dimana banyak syarikat-syarikat teknologi global mahu membuka pusat data untuk pelbagai jenis kegunaan di tanahair kita. Walaupun pusat-pusat data ini memperkenalkan banyak kelebihan seperti penambahan pekerjaan dan nilai ekonomi lain untuk rakyat setempat, ia juga memperkenalkan cabaran-cabaran baru seperti penggunaan tenaga elektrik dan air yang tinggi.
Selangor merupakan salah satu negeri yang akan memperlihatkan pembukaan pusat data yang meluas, dan salah satu cabaran yang diperlihatkan adalah sekiranya bekalan air negeri boleh menampung kadar pembukaan dan operasi pusat-pusat data ini. Air Selangor baru-baru ini telah mengatakan bahawa kadar pengeluaran dan bekalan air negeri adalah mencukupi untuk menampung keperluan air pusat-pusat data ini untuk tujuan penyejukan mesin pelayan.
CEO Air Selangor, Adam Saffian Ghazali mengatakan bahawa Air Selangor mempunyai 34 loji pemprosesan air di seluruh negeri yang boleh menghasilkan 6300 MLD (juta liter sehari) air, dengan kapasiti keperluan air oleh pusat-pusat data buat masa ini adalah setinggi 250 MLD melalui data yang dikumpul oleh syarikat pelaburan Invest Selangor.

Dalam pada itu, Air Selangor juga mempunyai beberapa anak syarikat seperti Central Water Reclamation Sdn Bhd yang memproses air tebus guna (reclaimed water) yang diproses untuk menjadi bersih, tetapi tidak bukan untuk diminum. Penggunaan air tebus semula ini juga dilaporkan boleh membantu syarikat-syarikat teknologi untuk meningkatkan kadar kelestarian syarikat kerana menggunakan bahan-bahan kitar semula.
Untuk pusat data yang beroperasi di kawasan-kawasan perindustrian, mereka juga mempunyai pilihan untuk menggunakan air tebus guna yang dibekalkan Air Lestari Sdn Bhd menggunakan air buangan daripada kilang-kilang di sekitar kawasan tersebut.
Air Selangor juga mengatakan bahawa mereka akan melakukan pembaharuan dari segi organisasi dan proses untuk mempercekapkan lagi proses pemprosesan air mereka untuk mengurangkan ketirisan air pada tahun ini, setelah mengurangkan kes-kes seperti kebocoran paip yang menjimatkan pengeluaran air sebanyak 298 MLD.
[sumber]The Star[/sumber]