Pusat 3S Denza Glenmarie SISMA Auto Kini Dibuka – Ruang Pameran Dan Servis EV Mewah
Ikhwan Nazri
Jika anda memiliki kereta elektrik, mungkin anda rasa tiada selenggaran yang diperlukan. Hakikatnya pemeriksaan berkala masih perlu dipantau bagi memastikan kenderaan berada di tahap yang optimum, lebih-lebih lagi di Malaysia yang mana pertumbuhan pemilikan kereta elektrik masih di tahap permulaan. SISMA Auto yang menawarkan kenderaan jenama-jenama mewah dan turut mempunyai pusat 3S ( Sales, Services, Spare parts – Jualan, Selenggaran, Barang Gantian) untuknya kini telah menambah pusat 3S untuk Denza, jenama mewah dari BYD.

Pusat 3S Denza ini terletak di Glenmarie, Shah Alam dimana pengguna boleh hadir untuk melihat dan membeli serta melakukan pandu uji untuk kereta elektrik Denza. Disamping itu pemilik juga boleh mengecas kenderaan mereka serta melakukan pemeriksaan berkala dan bersantai sewaktu proses tersebut di pusat 3S yang mewah ini. Bagi pemilik yang tidak mempunyai kelapangan masa, SISMA Auto turut menawarkan perkhidmatan mengambil kenderaan untuk diperiksa, baik dari rumah mahupun pejabat. Pusat ini juga turut menempatkan alat gantian bagi memastikan keperluan pemilik terjamin.


Sehingga kini terdapat satu model yang ditawarkan iaitu Denza D9 dengan dua variasi, iaitu D9 Advanced dan D9 Premium, yang dibezakan menerusi pacuan. Versi Advanced mempunyai motor elektrik pacuan hadapan mempunyai kuasa sebanyak 230 kW 308 hp dengan tork maksimum 360 Nm membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.5 saat. Versi Premium pula merupakan pacuan semua roda, dan dengan dua motor elektrik di bahagian hadapan dan belakang, ia mempunyai kuasa sebanyak 275 kW 369hp dengan tork maksimum 470 Nm membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

Turut dipamerkan di Pusat 3S Denza Glenmarie ini adalah Denza Z9 GT iaitu kereta elektrik sedan mewah yang buat masa ini belum ditawarkan di Malaysia, namun mungkin hanya menunggu masa sebelum ia ditawarkan untuk pengguna tempatan. Ia mempunyai bateri sebesar 100 kWh membolehkan pemanduan sejauh 630 KM CLTC, dan akan bersaing dengan sedan elektrik mewah yang lain seperti Porsche Taycan GT.
Denza yang juga merupakan jenama mewah dari BYD kini telah mempunyai banyak ruang pameran dan juga selenggaran di pelbagai lokasi, sekaligus memastikan pemilikan kereta elektirk mewah ini turut hadir dengan sokongan selepas jualan. Dengan pembukaan Pusat 3S Denza oleh SISMA Auto, ia menandakan satu lagi komitmen dari mereka dan jaminan terhadap kesediaan alat gantian.
