Anthropic Didapati Tidak Bersalah Melanggar Hak Cipta Untuk Melatih AI, Tetapi..
Nazrin
Anthropic, syarikat pembangun teknologi AI yang membangunkan perkhidmatan AI seperti Claude telah memenangi satu kes mahkamah kerana menggunakan kandungan hakcipta daripada kira-kira 7 juta naskhah bahan bacaan sepanjang tahun 2021 sehingga 2024.
Saman ini difailkan pada tahun lepas oleh Andrea Bartz, Charles Graeber, dan Kirk Wallace Johnson memfailkan saman tersebut, mengatakan bahawa Anthropic telah bukan sahaja mencetak rompak karya-karya mereka, tetapi menggunakan kandungan tersebut untuk tujuan pembelajaran mesin tanpa pengetahuan mereka.

Hakim William Alsup dari mahkamah Northern District, California mengatakan bahawa keputusan tidak bersalah tersebut diberikan kepada Anthropic kerana kandungan hakcipta yang digunakan, walaupun tanpa kebenaran adalah tertakluk dibawah undang-undang fair use ataupun penggunaan adil, dimana kandungan yang digunakan adalah bersifat transformatif dan tiada plagiat kandungan bulat-bulat dapat diperlihatkan.
Walaupun kemenangan ini dilihat sebagai sesuatu yang besar untuk industri AI dan pembelajaran mesin, Anthropic masih perlu menghadapi satu lagi pertuduhan, iaitu mencetak rompak kira-kira tujuh juta naskhah kandungan bertulis dan menyimpannya didalam pusat data mereka sendiri.
Hakim tersebut mengatakan bahawa walaupun Anthropic membeli buku-buku yang digunakan untuk pembelajaran mesin kemudian, bukti bahawa mereka memuat-turun kandungan cetak rompak dan menggunakannya untuk tujuan tersebut tidak boleh dinafikan.
Beliau mengatakan bahawa satu lagi perbicaraan mahkamah akan diadakan berkenaan kes cetak rompak ini, dan akan membincangkan apakah hukuman setimpal yang boleh dikenakan keatas syarikat tersebut.
[sumber]Reuters[/sumber]