Pembekal Proton Menandatangani Perjanjian Dengan Pembekal Geely Untuk Menghasilkan Komponen Kereta Di Malaysia
Nazrin
Proton, jenama automotif pertama tempatan telah memperkenalkan sejumlah kereta-kereta yang cukup menarik dibawah syarikat automotif China, Geely, seperti Proton X50, X70, X90 S90 dan juga kenderaan elektrik pertama dibawah Proton, iaitu Proton e.Mas7.
Walaupun kenderaan-kenderaan ini secara teknikalnya menggunakan rekaan kenderaan Geely, Proton nampaknya mahu mempercepatkan pengeluaran dan penambahan komponen-komponen model-model tempatan dan pembekal-pembekal komponen mereka telah menandatangani sejumlah perjanjian dengan syarikat-syarikat pembekal komponen Geely di China untuk mengilangkan komponen-komponen tersebut di Malaysia.

Pembekal-pembekal ini mengatakan bahawa mereka telah menandatangani empat perjanjian usaha-sama (joint-venture) dan dua perjanjian teknikal (technical agreement) untuk memesatkan pengeluaran komponen-komponen model-model kereta Proton di Malaysia. Komponen-komponen ini termasuklah bekalan untuk sistem radar ADAS (Advanced Driver Assistance Systems), komponen brek kereta, sistem lampu dan pengudaraan (HVAC) kereta.
Perjanjian usahasama yang ditandatangani adalah diantara:
- Delloyd Technology Berhad dan Imotion Automotive Technology (Suzhou) Co Ltd. (Sistem ADAS)
- PEPS JV (M) Sdn Bhd dan Liuzhou Sanly Autoparts Co Ltd (Sistem brek)
- JHM Consolidation Berhad dan Jiangsu Dekai Auto Parts Co Ltd (Sistem pencahayaan)
- Trillion Speed (M) Sdn Bhd dan Shanghai Yinlun Heat Exchange Systems Co Ltd (Sistem HVAC)
SHJ Interia Sdn Bhd dan Changchun Fawsn Automotive Trim Co Ltd menandatangani perjanjian teknikal untuk membangunkan teknologi pembuatan untuk komponen dalaman, terutamanya bahagian dalaman bumbung kereta. Perjanjian ini termasuklah perjanjian untuk membolehkan SHJ untuk membangunkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) mereka sendiri dengan kerjasama Changchun Fawsn.
Perjanjian teknikal kedua pula ialah diantara Xenso Electronics Sdn Bhd dan Freetech Intelligent Systems Co. Ltd. untuk membangunkan teknologi ADAS khusus untuk penjejakan sisi dan belakang kereta untuk sistem pemantauan titik buta (blind spot monitoring) dan sistem bantuan bertukar lorong (lane change assist) khusus untuk kenderaan-kenderaan Proton.
Usahasama diantara syarikat-syarikat teknologi automotif tempatan dan China ini dilihat akan membantu Proton dalam membangunkan teknologi automotif mereka secara tempatan, dan sekaligus mengurangkan keperluan untuk mengimport komponen kereta mereka dari China.