Selepas 21 Tahun, Spesifikasi Baharu PNG Diumumkan – Menyokong HDR dan Animasi
Effi Saharudin
Tahukah anda kali terakhir spesifikasi format fail Portable Network Graphics (PNG) dikemaskini ialah pada 10 November 2003. Fail ini menjadi format pilihan fail untuk imej oleh Perpustakaan Kongres Amerika Syarikat, Perpustakaan dan Arkib Kanada dan Arkib Kebangsaan Australia kerana mengekalkan kualiti berbanding format lain.

Semalam spesifikasi PNG edisi ketiga telah diumumkan dengan ia akhirnya membawakan sokongan HDR, APNG (PNG beranimasi) dan juga data EXIF. Spesifikasi diumumkan oleh W3C Timed Text Working Group selepas beberapa syarikat penyiaran meminta PNG menyokong HDR kerana ia format yang digunakan pada grafik untuk rancangan seperti berita serta sukan.
Walaupun spesifikasi ini baru sahaja diumumkan, ia sudahpun disokong pelayar web seperti Chrome, Safari, Firefox, iOS/macOS, Photoshop, DaVinci Resolve dan Avid Media Composer.
Satu spesifikasi yang belum dikemaskini ialah teknik mampatan imej yang lebih baik. Ia masih sedang dibangunkan. Untuk versi keempat kelak, kebolehoperasian antara SDR dan HDR akan diumumkan. Kemas kini mampatan imej untuk PNG akan hanya ditangani pada versi kelima nanti