Redmi K Pad Dilancarkan Dengan Skrin 8.8 dan Cip Dimensity 9400+
Effi Saharudin
Terdapat banyak peranti dilancarkan oleh Xiaomi lewat malam semalam dan antara yang mungkin sedikit dilupakan ialah Redmi K Pad. Tablet kompak ini hadir dengan skrin 8.8″ IPS LCD dengan resolusi 3K, kadar segar semula 165Hz, nisbah 16:10 dan melepasi piawaian Dolby Vision.

Tablet dijana cip Dimennsity 9400+, memori sehingga 16GB RAM LPDDR5x, storan sehingga 1TB UFS 4.1 dan bateri sebesar 7500 mAh yang menyokong pengecasan pantas 67W dan menjadi powerbank dengan kuasa pengecasan 18W.

Kamea utama tediri daripada lensa sudut lebar 13 MP dan kamera hadapan 8MP. Terdapat sepasang speaker stereo dengan Dolby Atmos dan menarik juga tablet ini dilengkapi dua port USB-C. Satu di bawah dan satu lagi di sisi. Dengan dua port USB-C, tablet boleh dicas dan pada waktu yang sama pemilik boleh menyambungkan fon kepala berwayar secara serentak.
K Pad dipasarkan sebagai sebuah tablet gaming dan oleh sebab itu ia dilengkapi kebuk penyejuk sebesar 12,050mm² dan turut ditawarkan dengan aksesori alat kawalan permainan fizikal. Akhir sekali sistem operasi yang digunakan ialah HyperOS 2 berasaskan Android 15.

Redmi K Pad ditawarkan dalam warna Deep Black, Spruce Green, dan Smoky Purple. Harga jualan adalah seperti di bawah.
- Redmi K Pad (8/256 GB) – RMB 2799 (~RM 1650)
- Redmi K Pad (12/256 GB) – RMB 3099 (~RM 1827)
- Redmi K Pad (12/512 GB) – RMB 3399 (~RM 2003)
- Redmi K Pad (16/512 GB) – RMB 3599 (~RM 2122)
- Redmi K Pad (16/1000 GB) – RMB 4199 (~RM 2476)