Threads Meluaskan Fungsi Spoiler Untuk Gambar Dan Video
Amy Maizuraa
Threads meluaskan fungsi tag spoiler yang sebelum ini hanya terhad kepada teks kepada kandungan media seperti gambar dan video. Penambahbaikan ini bertujuan untuk melindungi pengguna daripada pendedahan awal terhadap maklumat sensitif atau mengejutkan secara tidak sengaja. Pengguna boleh menandakan kandungan sebagai spoiler dengan beberapa langkah mudah mudah:
- Untuk teks – Pilih bahagian teks semasa menulis kiriman kemudian tekan pilihan Mark as Spoiler.
- Untuk kandungan media (gambar, video atau GIF) – Ketik ikon tiga titik pada kandungan tersebut dan pilih Mark as Spoiler.
Setelah ditandakan, kandungan akan dipaparkan dalam bentuk kabur. Pengguna lain boleh mengetik kandungan tersebut untuk melihatnya sepenuhnya jika mereka mahu.

Menariknya, satu kiriman boleh mengandungi lebih daripada satu spoiler. Namun, semua kandungan tersembunyi masih tertakluk kepada garis panduan Threads. Ini bermaksud pengguna tidak boleh menyembunyikan kandungan yang menyinggung atau melanggar peraturan platform walaupun ia ditandakan sebagai spoiler.
Fungsi ini amat berguna terutamanya bagi pengguna yang aktif berbincang tentang hiburan seperti filem atau siri baharu. Ia membolehkan mereka berkongsi maklumat tanpa merosakkan kejutan kepada orang lain. Pada masa yang sama, pencipta kandungan diberikan kawalan yang lebih baik terhadap cara maklumat dikongsikan dalam komuniti.

Threads telah mula menawarkan ciri ini secara berperingkat kepada pengguna. Jika anda masih belum melihat pilihan ini dalam aplikasi anda, pastikan anda mengemas kini Threads ke versi terbaharu untuk mengaksesnya sepenuhnya.
[sumber] threads [/sumber]