Samsung Galaxy Buds Core Dilancarkan Sebagai TWS Mampu Milik
Effi Saharudin
Samsung Galaxy Buds Core telah dilancarkan tanpa sebarang promosi di UAE lewat minggu lalu. Dari segi rekaan ia mirip dengan Galaxy Buds FE dengan ia dipasarkan sebagai fon telinga paling mampu milik oleh Samsung.

Seperti Buds FE, Buds Core mempunyai rekaan putik telinga yang kompak dengan sayap kecil untuk memastikan ia terpasang dengan rapi di dalam telinga. Terdapat pad sesentuh pada bahagian sisi kedua-dua putik dan sokongan ANC.

Hayat penggunaan adalah sehingga 35 jam tanpa ANC dan 21 jam dengan ANC. Ini meletakkannya hanya lima jam lebih tahan lama berbanding FE. Ia turut kini kalis air IP54, sokongan bluetooth 5.4 serta menyokong codec AAC dan SBC. Ini sekali adalah penambahbaikan berbanding hanya IPX2 pada Buds FE.
Samsung Galaxy Buds Core ditawarkan pada harga AED 189 (~RM 217) dalam warna hitam dan putih. Harga jualan di Malaysia masih belum diumumkan tetapi sebelum ini Buds FE dijual pada harga RM399.