Rekaan Tren RTS Link Diperlihatkan Secara Rasmi Kepada Umum
Amy Maizuraa
Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) yang bakal menjadi penghubung baharu antara Johor Bahru dan Singapura telah diperkenalkan secara rasmi kepada umum.

Majlis pelancaran tersebut telah berlangsung di Singapore Rail Test Centre, SRTC dan disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Loke Siew Fook; Menteri Pengangkutan Singapura, Encik Jeffrey Siow; serta Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi.

Tren tersebut terdiri daripada empat gerabak dan mampu membawa lebih 600 orang penumpang dalam satu masa. Projek RTS Link merupakan sistem kereta api ulang-alik dengan jarak keseluruhan 4km yang merangkumi 2.7km di Malaysia dan 1.3km di Singapura. Ia akan menghubungkan dua stesen utama, iaitu Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan Stesen RTS Link di Woodlands North, Singapura.

Dari segi prestasi, tren ini mampu mencapai kelajuan operasi maksimum 80km/j. Apabila beroperasi sepenuhnya, sistem ini dijangka dapat menampung 10,000 orang penumpang setiap jam bagi setiap arah dengan purata sekitar 40,000 penumpang setiap hari. Salah satu keistimewaan projek ini ialah pelaksanaan sistem Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ/CIQ) yang mesra pengguna.

Kedua-dua negara akan menempatkan kemudahan kawalan sempadan masing-masingdi dalam satu bangunan yang sama di setiap stesen. Ini membolehkan semua proses imigresen dan kastam diselesaikan di stesen berlepas sahaja, dan setibanya di destinasi penumpang tidak lagi perlu menjalani sebarang proses semakan sempadan. Untuk makluman, projek ini telah mula dibina sejak tahun 2021 dan dijangka akan siap serta beroperasi sepenuhnya menjelang akhir Disember 2026.