Siri Oppo Reno14 Kini Rasmi Di Malaysia Dengan Harga Bermula RM1399
Amy Maizuraa
Oppo secara rasmi melancarkan siri terbaharu Reno14 di Malaysia dalam tiga pilihan model utama iaitu Reno14, Reno14 Pro dan Reno14F. Ketiga-tiganya hadir dengan reka bentuk elegan serta dilengkapi dengan ciri teknikal terkini yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan pengguna yang berbeza.

Reno14 Pro dilengkapi dengan paparan AMOLED 6.83″ FHD+ yang menyokong kadar segar semula 120Hz. Peranti dijana oleh cip MediaTek Dimensity 8450 bersama memori 12GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 512GB UFS3.1. Ia turut dibekalkan bateri 6200mAh dengan pengecasan pantas 80W.
Sistem kameranya terdiri daripada tiga kamera belakang dengan sensor utama 50MP manakala kamera hadapan turut menggunakan sensor 50MP. Antara ciri tambahan termasuk pengimbas cap jari dalam skrin, NFC, Bluetooth 5.4, pembesar suara stereo serta sistem operasi ColorOS 15.

Sementara itu, Oppo Reno14 menampilkan paparan AMOLED 6.59″ dengan resolusi 1256 x 2760 piksel dan kadar segar semula 120Hz. Peranti menggunakan cip MediaTek Dimensity 8350 dengan memori 12GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman sehingga 512GB UFS3.1. Ia turut dilengkapi dengan bateri 6000mAh bersama pengecasan pantas 80W SUPERVOOC.
Sistem kameranya terdiri daripada tiga sensor utama dengan gabungan 50MP + 50MP telefoto + 8MP lebar manakala kamera hadapan pula sebesar 50MP. Antara ciri tambahan lain termasuk pengimbas cap jari dalam skrin, NFC, Bluetooth 5.4, USB Type-C serta sistem operasi ColorOS 15.

Oppo Reno14F hadir dengan skrin AMOLED 6.57″ FHD+ berkadar segar semula 120Hz. Ia menggunakan cip Snapdragon 6 Gen 1 bersama memori sehingga 12GB RAM LPDDR4X dan storan dalaman 512GB UFS 3.1. Bateri 6000mAh disediakan menyokong pengecasan pantas 45W melalui USB-C. Kamera belakangnya terdiri daripada sensor 50MP lebar + 8MP ultra-lebar + 2MP makro manakala kamera hadapan 32MP.


Harga rasmi bagi Reno14 di Malaysia bermula daripada RM2,199 (12/256) dan RM2,599 (12/512GB) diikuti oleh Reno14 Pro bernilai RM2,999 (12/512GB) dan Reno14F dari RM1,399 (8/256GB), RM1,599 (12/256GB) dan RM1,799 (12/512GB). Pratempahan untuk ketiga-tiga model ini telah dibuka kepada orang ramai. Pelanggan yang membuat tempahan awal berpeluang menerima pelbagai hadiah eksklusi, termasuk aksesori menarik dan tawaran bernilai sehingga RM2396 bergantung kepada model yang ditempah.