Sony Perkenalkan TV BRAVIA 5 98″ Baharu Di Malaysia Pada Harga RM29,999
Amy Maizuraa
Sony Malaysia hari ini melancarkan tiga model televisyen pintar terkini dalam barisan BRAVIA 2025 merangkumi BRAVIA 5, BRAVIA 8 II dan BRAVIA 2 II. Ketiga-tiga model ini direka untuk memenuhi keperluan berbeza pengguna yang mahukan pengalaman hiburan visual dan audio premium.

Dalam pelancaran hari ini, BRAVIA 5 muncul sebagai model yang paling premium dalam siri tersebut dengan saiz paparan 98-inci. Saiz ini menjadikannya antara pilihan ideal buat pengguna yang mahukan pengalaman tontonan berskala besar di rumah.
Model ini dilengkapi dengan panel Mini LED 4K UHD untuk kandungan visual yang terang dan jelas. Ia juga menggunakan teknologi XR Backlight Master Drive yang berfungsi untuk mengawal pencahayaan dengan lebih tepat bagi menghasilkan tahap kontras yang baik.

BRAVIA 5 turut menyokong Dolby Vision dan Dolby Atmos untuk pengalaman audio yang lebih imersif. Ia beroperasi dengan platform Google TV yang menyediakan akses kepada pelbagai perkhidmatan penstriman dan aplikasi hiburan digital. Pilihan I/O terdiri dengan empat port HDMI, dua port USB, serta sokongan untuk Wi-Fi 6E dan Bluetooth 5.3.

Bagi pengguna yang mencari pilihan lebih kompak, BRAVIA 8 II merupakan alternatif yang sesuai. Ia dilengkapi dengan panel QD-OLED 4K yang menyokong kadar segar semula 120Hz. Model ini turut dikuasai teknologi Cognitive Processor XR yang berfungsi untuk menganalisis setiap adegan secara pintar. Ia juga menyokong teknologi XR Triluminos Max yang bantu menghasilkan warna lebih tepat seumpama kandungan asal.

Dari segi audio, BRAVIA 8 II menggunakan Acoustic Surface Audio + di mana bunyi boleh dipantulkan terus daripada permukaan skrin. Ini memberikan kesan audio yang lebih seimbang seolah-olah datang dari arah kandungan visual itu sendiri. Tambahan lagi, sokongan Dolby Vision dan Dolby Atmos melengkapkan pengalaman tontonan dengan kualiti gambar dan bunyi yang menyerupai suasana panggung wayang di rumah.

Bagi pengguna yang mahukan model lebih berpatutan, BRAVIA 2 II boleh menjadi pilihan yang lebih mesra bajet dalam barisan televisyen Sony tahun ini. Ia menggunakan panel LED standard dengan resolusi 4K UHD dan teknologi 4K X-Reality PRO yang membolehkan kandungan beresolusi rendah dipertingkatkan secara pintar untuk pengalaman lebih jelas.

Model ini menyokong audio Dolby Atmos dan DTS untuk pengalaman bunyi lebih mengasyikkan. Ia juga manjalankan Google TV yang membolehkan pengguna mengakses pelbagai aplikasi penstriman termasuk Netflix. BRAVIA 2 II turut didatangkan dalam pelbagai saiz skrin daripada 50 hingga 75 inci bagi memberi kebebasan kepada pengguna memilih mengikut keperluan dan bajet.


Harga jualan adalah bermula RM 3,099 (50”), RM 3,499 (55”), RM 4,399 (65”) dan RM 5,999 (75”) untuk model BRAVIA 2 II. Sementara itu, BRAVIA 8 II berharga dari RM 12,499 (55”) dan RM 16,999 (65”). Manakala, BRAVIA 5 dengan skrin 98” berharga RM 29,999 sebuah. Ketiga-tiga model baharu ini sudah mula dijual di Malaysia menerusi semua pengedar rasmi Sony.