Kemaskini Proton e.MAS 7 Membawakan Tambatan Apple CarPlay Nirwayar & Pelbagai Fungsi Baharu – Warna & Kemasan Edisi Terhad Turut Diperkenalkan
Ikhwan Nazri
Salah satu kelebihan yang sering diketengahkan kereta elektrik adalah kemaskini dan optimasi sistem operasi secara automatik, tanpa memerlukan pemilik kenderaan membawa kereta mereka ke pusat perkhidmatan. Sama seperti komputer mahupun telefon pintar, kereta kini boleh dikemaskini selagimana ia berhubung dengan internet. Proton e.MAS 7 turut mempunyai fungsi sebegini dan pada hari ini pihak PRO-NET telah mengumumkan sejumlah kemaskini yang membawakan pelbagai pembaharuan dan fungsi yang dinantikan pengguna.

Bagi pengguna Apple iPhone, kini anda boleh menambatkan iPhone anda bagi melancarkan fungsi Apple CarPlay, dan mengakses kesemua fungsi yang disediakan baik secara nirwayar mahupun sambungan berwayar. Fungsi ini merupakan fungsi yang penting yang kerap menjadi pertanyaan bakal pemilik kenderaan dan dengan kebolehan ini, pengguna boleh melancarkan aplikasi seperti Waze, Apple Music, Apple Maps dan pelbagai lagi. Fungsi tambatan Android Auto pula dijangka akan tersedia menjelang suku keempat tahun ini.

Aplikasi lain turut ditambah secara terus antaranya IZI Travel, Vivaldi Browser dan juga aplikasi telesidang Zoom for Cars. Antara fungsi lain yang turut dikemaskini adalah bunyi yang dimainkan semasa Proton e.MAS 7 sedang bergerak perlahan bagi memastikan keselamatan pejalan kaki yang mungkin tidak menyedari kereta elektrik berhampiran. Jika sebelum ini terdapat satu sahaja bunyi disediakan, kali ini terdapat pilihan bunyi Galactic Note dan Space Walk dan pengguna bebas memilih dengan tiga pilihan bunyi ini.

Seterusnya terdapat juga penawaran penutup ‘Tonneau cover’ untuk versi baharu dan pemilik e.MAS 7 sedia ada akan menerimanya secara percuma. Untuk kemasan dalaman, kini terdapat pilihan kemasan Alabaster White khas untuk Proton e.MAS 7 berwarna Quartz Rose dan Turqoise Green. Juga kini terdapat penawaran model berwarna Obsidian Black untuk versi Prime dan Premium.
Kemaskini ini akan diberikan kepada pemilik e.MAS 7 secara berperingkat bermula 21 Julai 2025 dan sehingga kini lebih dari 4,000 unit telah terjual. Mungkin angka ini akan berlipat ganda tidak lama lagi apabila mereka akan turut menawarkan Proton e.MAS 5 yang lebih mampu milik, dan juga versi pemasangan tempatan CKD untuk kesemua model e.MAS.
