IQOO Z10 5G Dengan Bateri 7300mAh Kini Rasmi Di Malaysia – Harga Bermula RM1399
Amy Maizuraa
IQOO secara rasminya melancarkan telefon pintar terbaru IQOO Z10 5G untuk pasaran Malaysia. Peranti ini menampilkan gabungan ciri teknikal menarik bersama bajet memadai dalam segmennya. Peranti juga sesuai untuk pengguna yang mementingkan prestasi dan ketahanan bateri.

IQOO Z10 5G menggunakan cip Snapdragon 7s Gen 3 dengan pilihan memori 12GB RAM dan storan dalaman 512GB. Peranti juga menawarkan paparan skrin AMOLED 6.77-inci 120Hz dengan kecerahan puncak 5000nits. Ia turut menjalankan perisian FunTouchOS 15 berasaskan Android 15 yang menyediakan pengalaman penggunaan lebih terkini dari segi antara muka, ciri keselamatan, serta prestasi sistem secara keseluruhan.

Aspek yang paling menonjol tentulah kapasiti bateri besar 7300mAh yang juga menyokong pengecasan pantas 90W. Untuk keperluan fotografi, telefon ini dilengkapi dengan kamera utama 50MP (OIS) serta kamera swafoto 32MP. Peranti turut hadir dengan tubuh setebal 7.89mm, berat 199 gram serta kalis air IP65 untuk ketahanan dalam pelbagai keadaan harian.

Di Malaysia, IQOO Z10 5G ditawarkan pada harga rasmi bermula RM1,399 untuk varian 12GB RAM + sstoran 256GB (eksklusif atas talian) dan RM1,599 untuk varian 12GB RAM + storan 512GB. Sesi pra-tempahan turut dibuka dengan tawaran hadiah percuma bernilai RM488 termasuk aksesori menarik.