Hugo Boss Memperkenalkan Kasut Yang Dihasilkan Melalui Pencetakan 3D
Nazrin
Jenama fesyen Hugo Boss baru-baru ini telah memperlihatkan rekaan kasut santai atau loafer baru yang telah dihasilkan melalui proses pencetakan 3D. Kasut ini direka dan dihasilkan dengan kerjasama bersama satu lagi jenama kasut, Zellerfeld yang dikenali untuk kasut-kasut mereka yang juga dihasilkan melalui pencetakan 3D.

Kasut yang dihasilkan melalui teknik-teknik tradisional secara lazimnya akan menggabungkan dua ke tiga bahagian yang menghasilkan satu pasang kasut, akan tetapi dengan teknologi pencetakan 3D, kasut-kasut ini boleh dihasilkan sekali harung dalam satu cetakan sahaja.
Teknik sama ini digunakan oleh Zellerfeld untuk kasut-kasut mereka, dan digunakan untuk menghasilkan kasut Hugo Boss ini. Oleh kerana ini, kasut ini yang dinamakan Hugo Forward x Zellerfeld tidak akan dihasilkan secara besar-besaran, tetapi sebaliknya dalam kuantiti terhad melalui laman web mereka, dan akan dihasilkan di kilang mereka di Hamburg, Germany.

Ini adalah kerana setiap kasut yang dihasilkan oleh Zellerfeld memerlukan imbasan tapak kaki pelanggan sebelum ia dicetak untuk memastikan bahawa setiap kasut yang dihasilkan boleh memuatkan kaki mereka sahaja.
Melihat kepada bahan yang digunakan pada kasut Zellerfeld sendiri, kasut kolaborasi ini mungkin menggunakan zellerFOAM, plastik kitar semula Thermoplastic Polyurethane (TPU) iaitu sejenis plastik yang dikenali untuk fleksibiliti, ketahanan dan kelasakannya.
Hugo Boss dan Zellerfeld akan mengadakan acara promosi di kedai-kedai mereka di Amsterdam dan Milan, dimana pelanggan juga boleh membuat tempahan untuk kasut tersebut. Kasut-kasut ini hadir dalam pilihan warna kuning air, hitam, merah, oren dan biru.
[sumber]WWD[/sumber]