Bagaimana Memeriksa Nintendo Switch 2 Yang Dijual Adalah Set Tempatan?
Nazrin
Konsol permainan mudah-alih Nintendo Switch 2 akhirnya sudahpun mula dijual di pasaran Malaysia secara rasmi pada hari semalam, 3 Julai 2025. Tetapi seperti yang disangka, untuk pasaran tempatan, terdapat beberapa kedai yang juga telah menjual set-set dari rantau lain, seperti Hong Kong, yang memperlihatkan jualan pada hari pertama pelancaran.

Jadi bagaimanakah anda mahu tahu bahawa set konsol yang dibeli adalah untuk pasaran tempatan, ataupun Asia Tenggara? Jawapannya sebenarnya agak mudah. Pertama, anda boleh lihat pada kotak set Nintendo Switch yang dibeli, di bahagian belakangnya akan ada pelekat “For sale and use in Malaysia” ini, yang menandakan bahawa ia adalah set tempatan.

Cara kedua, yang lebih menarik ialah jika anda lihat pada konsol Switch 2 itu sendiri, dan juga pada alat kawalan Joy-Con 2, akan tertera logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) padanya, memperlihatkan bahawa set ini telah disahkan jualan dan penggunaannya untuk pasaran Malaysia.


Seperti yang sedia maklum, Nintendo Switch 2 tiba sedikit lewat ke pasaran kita kerana ia perlu melepasi pengesahan SIRIM terlebih dahulu, tetapi penungguan tersebut tidak begitu lama, dan dengan ini, Malaysia juga akhirnya termasuk dalam pasaran Nintendo secara rasmi.
Dalam pada itu, alat kawalan Nintendo Switch 2 Pro Controller juga hadir dengan logo sama, jadi ia boleh dikatakan bahawa semua aksesori elektronik Nintendo Switch 2 akan memperlihatkan logo ini.

Anda boleh mula membeli konsol Nintendo Switch 2 di kedai-kedai permainan video di seluruh Malaysia, ataupun melalui gedung atas-talian Nintendo Malaysia di Shopee.