Pebble Halo Smart Ring Dilancarkan Dengan Skrin Terbina
Amy Maizuraa
Pabble telah melancarkan Halo Smart Ring iaitu sebentuk cincin pintar yang menampilkan skrin terbina serta pelbagai fungsi pemantauan kesihatan dan kawalan isyarat.


Cincin yang diperbuat daripada keluli tahan karat ini hadir dalam tiga warna iaitu hitam, perak dan emas serta ditawarkan dalam enam saiz berbeza bagi memenuhi keperluan pengguna. Dengan berat hanya 19 gram, Halo Smart Ring boleh memaparkan masa, tahap bateri dan data kesihatan secara langsung menerusi skrin kecil terbina padanya.

Antara ciri kesihatan ditawarkan termasuk pengira langkah, pemantauan degupan jantung, penjejakan waktu tidur, tekanan, tahap oksigen dalam darah dan HRV. Ia turut menyokong kawalan isyarat tangan bagi membolehkan pengguna menatal video, mengawal muzik dan kamera serta menyelak halaman e-book pada peranti yang disambungkan melalui Bluetooth 5.2.

Meskipun kapasiti bateri tidak didedahkan, Pebble mengiklankan ketahanan sehingga empat hari dengan setiap pengecasan penuh. Cincin ini mempunyai penarafan kalis air namun pengguna dinasihatkan supaya tidak menggunakan dalam aktiviti air secara berpanjangan. Halo Smart Ring dijual di India dengan harga INR7,999 (~RM395).