SKMM Dan PDRM Komited Menyampaikan Maklumat Sahih Kepada Pengguna
Amy Maizuraa
Penyebaran maklumat palsu diibaratkan seperti parasit yang boleh merebak dengan cepat jika tidak dibendung. Fenomena ini bukan sahaja menyusahkan pelbagai pihak malah mewujudkan suasana tidak sihat dalam ruang digital di Malaysia.

Menyedari hakikat tersebut, Kementerian Komunikasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha menyampaikan maklumat yang sahih kepada orang ramai. Menurut Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil, kerjasama ini turut merangkumi usaha menangani cabaran komunikasi era digital dengan lebih berkesan.

Perkara ini dimaklumkan selepas kunjungan hormat Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail ke pejabat beliau di Putrajaya pada semalam. Dalam pertemuan tersebut, PDRM menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama sedia ada bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks dewasa ini.
Fokus utama kerjasama ini adalah untuk membendung penyebaran berita palsu dan kandungan yang melanggar undang-undang demi menjamin keselamatan negara serta memastikan ruang digital kekal selamat buat semua pengguna.