Ketua Pembangunan AI Apple Berpindah Ke Meta
Effi Saharudin
Pembangunan Apple Intelligence yang berhadapan pelbagai isu kini menjadi semakin gawat kerana ketua pasukan yang membangunkan model asas kecerdasan buatan (AI) telah berjaya dipancing oleh Meta. Menurut laporan Bloomberg, Ruoming Pang yang mengetuai pembangunan AI di Apple diumpan untuk berpindah ke Meta dengan bayaran puluhan juta setahun.

Semasa di Apple, Ruoming Pang mengetuai pasukan membangunkan model yang digunakan pada ciri Genmoji, Priority Notifications dan ringkasan emel yang diterima. Pang menjadi seorang lagi kakitangan syarikat pesaing yang berjaya dipancing oleh Mark Zuckerberg dengan habuan bernilai ratusan juta.
Minggu lalu Meta Superintelligence Labs ditubuhkan secara rasmi dengan ia diketuai oleh bekas CEO Scale AI dan Safe Superintelligence. Kakitangan OpenAI yang mencipta ChatGPT dan beberapa model terkini juga telah berpindah untuk bernaung di bawah payung Meta.