Apple Mengurangkan Kesan Kaca Lutsinar Pada iOS 26 Beta 3
Effi Saharudin
Rekaan antaramuka “Liquid Glass” diperkenalkan di WWDC tahun ini dengan elemen seakan kaca lutsinar digunakan pada iOS 26, ipadOS 26, macOS 26, tvOS dan banyak lagi. Selepas versi Beta aplikasi diberikan kepada pembangun sebulan lalu, ramai juga yang mengeluh kesan lutsinar yang digunakan membuatkan elemen antaramuka sukar dibaca. Pagi ini iOS 26 Beta 3 telah diberikan dan ia mengurangkan kesan lutsinar serta biasan cahaya yang digunakan.
Biasan cahaya kini dikurangkan dengan agak ketara serta kedudukan talam pintas pantas juga direndahkan sedikit. Terdapat laporan kesan lutsinar kini semakin dikaburkan berbanding dahulu tetapi pada peranti yang dimiliki saya tidak melihat perubahan yang ketara.

Perubahan ini dilakukan Apple selepas menerima maklum balas pembangun. Pada hemat saya kesan lutsinar yang digunakan memang agak melampau sehingga sukar membezakan gambar hadapan dengan imej latar khususnya pada skrin kunci.
Pelbagai elemen antaramuka serta iOS 26 dan kesemua sistem operasi yang lain akan diubah sedikit demi sedikit sebelum versi akhir diberikan sekitar September depan. Beberapa minggu lalu ikon Finder telah diubah semula di macOS 26 selepas dikritik di media sosial.
Penggunaan antaramuka berkaca dan kembali 3D ini adalah tidak dijangka memandangkan penggunaan elemen antaramuka yang rata diperkenalkan 13 tahun lalu. Ramai menjangka ia adalah taktik Apple membiasakan pengguna produk mereka dengan antaramuka yang bakal digunakan pada cermin mata pintar yang sedang dibangunkan.