Ulasan Nothing Headphone (1) – Langkah Kanan Nothing ke Dunia Fon Kepala
Nur Amzari
Seperti yang semua tahu, Nothing sudah mempunyai beberapa produk audio keluaran mereka tersendiri dan boleh dikatakan semuanya mempunyai reputasi yang baik selepas dilancarkan. Selepas melancarkan beberapa siri TWS, Nothing memulakan langkah baru ke dunia fon kepala dengan Nothing Headphone (1) dan adakah fon kepala ini mampu mengekalkan reputasi baik sama seperti produk audio Nothing yang lain ?

Spesifikasi
| Nothing Headphone (1) | |
|---|---|
| Jenis | Fon telinga belakang tertutup |
| Pemandu | 40mm Dinamik Bersalut Nickel Ditala Oleh KEF |
| Mikrofon | 6 mikrofon |
| Bateri | 80 Jam ANC 35 jam tanpa ANC |
| Port pengecas | USB-C |
| Pengecasan nirwayar | Tiada |
| CODEC | AAC, SBC,LDAC |
| Sistem operasi disokong | Semua |
| Sokongan pembantu maya | Semua |
| Pad Kawalan | Suis kuasa, Butang Bluetooth, Pedal kawalan Butang sesentuh |
| Kemampuan kalis air | IP52 |
| Harga Jualan | RM1099 Hitam dan Putih |
Rekaan dan Penggunaan
Secara ringkas rekaan pada Nothing Headphone (1) ini sememangnya ada identiti Nothing iaitu rekaan lutsinar yang menampakkan komponen di dalam. Rekaan ini menjadikan fon kepala daripada Nothing lain dari yang lain sesuai untuk anda yang sukakan rekaan yang luar kebiasaan. Sekali imbas pada cawan telinga fon kepala ini kelihatan seperti pemain kaset yang mungkin akan mengimbau kenangan pada sesetengah orang.

Cawan telinga berbentuk petak ini diperbuat daripada aluminium dan plastik pada bahagian lutsinar. Penyambung antara cawan telinga dan cekak kepala menggunakan bahan jenis plastik yang terasa sangat lancar untuk melaraskannya. Pada bahagian cekak kepala, ia diperbuat dari aluminium. Oleh kerana banyak menggunakan bahan jenis aluminium ia membuatkan fon kepala ini terasa premium dan mahal. Satu perkara yang mengecewakan adalah cawan telinga ini tidak boleh dilipat dan hanya boleh dipusingkan 90 darjah sahaja.

Pada cawan telinga dan cekak kepala ia menggunakan span daripada bahan busa memori dan PU. Apa yang saya boleh katakan, ini merupakan fon kepala paling selesa yang pernah saya gunakan. Saya dapat memakai fon kepala ini dengan tempoh yang agak lama kerana tidak membuatkan telinga saya terasa panas dengan cepat. Cawan telinga ini juga menutupi keseluruhan telinga saya dengan baik dan dapat memberikan pembatalan hingar pasif yang agak baik.

Kesemua butang kawalan untuk fon kepala ini hanya terdapat di cawan telinga kanan sahaja. Pada bahagian bawah cawan telinga, terdapat suis kuasa untuk menghidupkan fon kepala ini, sambungan USB C dan bicu audio 3.5mm untuk menggunakannya secara berwayar. Di bahagian sisi, terdapat padel kawalan untuk melangkau ke depan atau belakang. Fungsi lain padel kawalan ini adalah untuk mempercepatkan atau undur semula lagu dan hanya sesetengah aplikasi sahaja yang boleh menggunakan fungsi ini.


Selain itu, terdapat butang berbentuk bujur yang mempunyai dua fungsi iaitu mengaktifkan fungsi pembatalan hingar atau mod tembus dengan menekannya dalam beberapa saat dan mengawal kelantangan audio dengan memutarkannya. Tambahan lagi, terdapat butang untuk menyeru pembantu maya yang terletak bahagian luar cawan telinga. Butang ini juga mempunyai fungsi ‘channel hop’ yang akan menukar aplikasi audio yang berlainan.


Satu perkara pelik tentang butang kawalan pada fon kepala ini adalah kedudukan butang sambungan Bluetooth yang terletak pada bahagian dalam cawan telinga dan saiznya juga agak kecil untuk ditekan. Dari segi kustomasi, hanya butang di bahagian luar dan butang berbentuk bujur sahaja boleh diubah fungsi menerusi aplikasi Nothing X.

Disebabkan fon kepala ini tidak boleh dilipat menjadi lebih kecil, secara automatik bekas simpanannya juga agak besar dan memakan ruang apabila diletakkan di dalam beg. Rekaan keseluruhan bekas simpanan ini juga tiada apa yang menarik. Pada bahagian dalam terdapat poket untuk meletakkan kabel pengecasan dan kabel bicu audio 3.5mm.
Kualiti Audio
Keistimewaan yang ada pada Nothing Headphone (1) ini adalah audio yang dihasilkan menerusi pemandu 40mm bersalut nickel yang dibuat khas dan telah ditala oleh KEF iaitu satu syarikat yang membuat produk audio berkualiti tinggi seperti pembesar suara dan fon kepala. Menurut Nothing, audio yang dihasilkan melalui kerjasama dengan syarikat British itu akan menjadi lebih neutral. Pada awal percubaan, saya menggunakan fon kepala ini mengikut tetapan yang diberikan sebaik sahaja keluar dari kotak.

Secara dasarnya, audio fon kepala ini mempunyai bass yang tinggi namun ia tidak melampau seperti kebanyakan fon kepala gaming di luar sana. Bass yang tinggi ini juga memberikan sedikit kesan kepada bunyi instrumen lain seperti bunyi simbal yang terasa agak jauh. Saya banyak mendengar lagu dengan genre post hardcore pada fon kepala ini dan bass yang dihasilkan betul-betul terasa di telinga namun ia menyebabkan bunyi gitar sedikit terkesan. Dari segi vokal, untuk penyanyi lelaki kedengaran agak mendatar namun penyanyi wanita kedengaran baik-baik sahaja.

Selepas dua hari menggunakan tetapan asal, saya menukar EQ menerusi aplikasi Nothing X pada fon kepala ini mengikut citarasa sendiri. Dengan menggunakan EQ sendiri, bunyi yang dihasilkan jadi lebih seimbang dan neutral. Secara keseluruhannya, fon kepala ini mempunyai ciri bunyi yang ‘warm’.Jika anda lebih menggemari bunyi yang mempunyai bass, anda tidak perlu mengubah apa-apa pada fon kepala ini.

Saya ada juga mencuba Headphone (1) ini secara berwayar menggunakan kabel audio 3.5mm dengan DAC/AMP. Bunyi yang dihasilkan agak mengejutkan kerana ia lebih seimbang dan natural tanpa menukar EQ.
Dari segi pementasan audio, ia tidaklah begitu luas dan seolah-olah anda mendengar lagu dalam ruang yang kecil namun dapat menghasilkan bunyi yang baik. Bunyi arah instrumen juga masih lagi boleh dikenalpasti dan juga tidak berkecamuk antara satu sama lain.
ANC Dan Mod Tembus
Perkara yang sangat baik pada Nothing Headphone 1 ini adalah pada kemampuan ANC untuk menghalang bunyi persekitaran. Selama beberapa hari saya gunakan fon kepala ini di dalam LRT dan dengan ciri ANC ini ia mampu mengurangkan bunyi persekitaran dengan agak ketara. Ini juga dibantu oleh busa memori di cawan telinga fon kepala ini yang dapat mengurangkan sedikit bunyi persekitaran. Pada awal penggunaan, saya dapat terasa sikit efek vakum dari ciri ANC ini tapi selepas beberapa hari ia sudah tidak terasa sangat.

Ciri ANC tidak lengkap tanpa pasangannya iaitu mod tembus. Saya tiada sebarang masalah dengan mod tembus fon kepala ini kerana ia dapat menjalankan tugas dengan baik cuma apabila menggunakan ciri ini suara saya kedengaran seperti tersepit namun suara orang sekeliling sangat jelas didengari.
Aplikasi
Seperti produk audio Nothing dan CMF, Headphone (1) ini juga turut boleh dikawal fungsinya melalui aplikasi Nothing X. Saya sendiri amat sukakan dengan aplikasi Nothing X ini kerana ia kelihatan sangat kemas dan tidak memeningkan kepala semasa menggunakannya. Pada fon kepala ini, terdapat beberapa fungsi menarik bersama Nothing X yang boleh dicuba seperti ciri head tracking spatial audio. Dengan ciri ini, audio yang anda sedang dengar akan mengikut pergerakan kepala namun saya sendiri jarang menggunakan fungsi ini. Fungsi lain adalah ‘channel hop’ yang akan menukar ke aplikasi audio lain jika menggunakan lebih dari dua aplikasi serentak.

Saya amat hargai fungsi equalizer 8-band yang terdapat dalam aplikasi ini. Dengan fungsi inilah saya dapat mengubah sedikit sifat bunyi asal fon kepala ini kepada bunyi yang mengikut citarasa sendiri. Kalau anda tidak faham untuk menggunakan equalizer 8-band anda boleh lagi menggunakan equalizer standard 3-band dan beberapa preset bunyi yang disediakan.

Walaupun Headphone (1) ini mempunyai banyak butang fizikal hanya dua butang yang boleh ditekan sahaja yang boleh diubah fungsinya iaitu butang yang berbentuk bujur dan butang yang terletak di bahagian luar. Butang di bahagian luar ini juga boleh digunakan bersama Essential Space yang ada pada Nothing Phone untuk merekod nota suara. Butang ini juga turut diintegrasikan dengan AI dan ciri News Reporter widget untuk peranti Nothing.
Bateri
Nothing Headphone (1) ini mampu bertahan sehingga 54 jam penggunaan bersama dengan LDAC dan fungsi ANC diaktifkan menurut pihak Nothing sendiri. Prestasi bateri ini lebih baik dibandingkan dengan pesaingnya iaitu Sony WH-1000XM6. Berdasarkan penggunaan saya, saya dapat pakai sepanjang 5 hari berturut-turut dengan purata sehari dalam 5 jam penggunaan dan dalam tempoh ulasan ini hanya 2 kali sahaja saya baru mengecas fon kepala ini.

Bercakap mengenai pengecasan, fon kepala ini mempunyai pengecasan pantas 5 minit untuk 5 jam penggunaan tanpa ANC dan 2.4 jam dengan ANC. Masa yang diambil untuk mengecas penuh pula adalah 2 jam melalui port USB-C.
Apa Dalam Kotak
- 1x Nothing Headphone (1)
- 1x Beg simpanan.
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Kabel bicu audio 3.5mm
- 1x Manual.
- 1x Kad jaminan.

Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, Nothing Headphone (1) ini mungkin mampu mengekalkan prestasinya sama dengan produk audio Nothing yang lain. Dengan membawa rekaan unik dan kualiti audio yang baik, Nothing Headphone (1) ini boleh menempa namanya sendiri di dalam pasaran fon kepala premium. Sebagai seorang bukan penggemar fon kepala, Nothing Headphone (1) ini berjaya menarik minat saya ke dunia fon kepala.
Pro
- Rekaan sangat unik dan menarik.
- Sangat selesa di kepala
- Kualiti audio yang sedap
- Butang fizikal pelbagai fungsi
- Bateri tahan lama
Kontra
- Tidak boleh dilipat.
- Perlukan EQ untuk audio lebih seimbang
- Bekas simpanan besar.
- Butang tambatan Bluetooth di posisi yang aneh.
