MG Cyberster Kini Ditawarkan Dalam Versi RWD Pada Harga RM299,900
Ikhwan Nazri
Tahun lepas MG telah mengumumkan kereta ‘roadster’ elektrik pertama yang ditawarkan di Malaysia iaitu MG Cyberster yang hadir dengan pacuan kesemua roda (AWD), membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa sepantas 3.8 saat. Hari ini mereka mengumumkan satu lagi variasi untuk MG Cyberster yang memberikan pacuan roda belakang (RWD), dan menawarkan lebih jarak perjalanan pada harga RM299,900.

MG Cyberster RWD ini mempunyai rekaan yang sama mengetengahkan pintu ‘gunting’, tiga paparan pemanduan, kemasan kulit Alcantara dan boleh dikatakan tidak berbeza berbanding model AWD. Malah kapasiti baterinya tetap sama iaitu 77 kWh namun memandkangkan ia hanya menggunakan pacuan roda belakang, bateri tersebut memberikan jarak perjalanan sejauh 508KM WLTP berbanding model AWD yang memberikan jarak perjalanan sejauh 446KM WLTP.
Satu lagi perbezaan untuk versi RWD ini adalah dari segi jumlah kuasa pacuan sebanyak 340 PS dan torm 475 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 5 saat. Tempoh pengecasan tetap sama, iaitu AC 7 kW untuk masa pengecasan penuh sekitar 10 jam, dan pengecasan pantas DC 150kW membolehkan pengecasan pantas 10-80% dalam masa 38 minit.

MG Cyberster RWD ini ditawarkan pada harga RM299,900 dengan jaminan selama 7 tahun atau 150,000 KM jarak perbatuan, jaminan bateri selama 8 tahun atau 180,000 KM jarak perbatuan, dan jaminan motor serta komponen pemanduan selama 8 tahun atau 160,000 km jarak perbatuan. Lebih menarik lagi, pembeli akan turut menerima langganan pengecasan tanpa had menggunakan JomCharge selama setahun, termasuk fungsi Auto Charge yang membolehkan pengguna untuk hanya mencucuk palam pengecasan tanpa perlu melancarkan aplikasi. Melengkapkan pembelian adalah kotak pengecasan 7kW yang diberikan secara percuma.
Anda boleh melihat sendiri MG Cyberster dan kesemua kereta elektrik yang ditawarkan mereka di Pusat Membeli-belah 1 Utama bermula hari ini sehingga 13 Julai 2025.
