Samsung Galaxy Z Flip7 dan Z Flip7 FE Dilancarkan Dengan Cip Exynos – Harga Bermula RM3999
Effi Saharudin
Samsung Galaxy Z Fold7 bukan satu-satunya peranti skrin lipat yang dilancarkan ketika acara Unpacked 2024 malam ini. Turut dilancarkan ialah Samsung Galaxy Z Flip7 dan Samsung Galaxy Z Flip7 FE yang juga hadir dengan beberapa penambahbaikan.

Samsung Galaxy Z Flip7 ialah model mercu dengan skrin dalam kekal sebesar 6.9″ dari jenis Dynamic AMOLED 2X 120Hz LTPO yang lebih besar berbanding 6.7″ tahun lau. Skrin sekunder pada bahagia penutup turut meningkat ke 4.1″ SAMOLED 120Hz. Keseluruhan panel atas di belakang peranti kini ialah skrin membolehkan lebih banyak aplikasi digunakan tanpa skrin dibuka. Peranti melepasi piawaian kalis air serta debu IP48.

Peranti dijana oleh cip Exynos 2500, dilengkapi memori sebesar 12GB RAM LPDDR5x, storan sehingga 512GB UFS 4,0, dan bateri pula sebesar 4300 mAh yang sekadar menyokong pengecasan 25W yang agak perlahan. Namun begitu bateri tahun ini 300 mAh lebih besar berbanding Z Flip6.
Kamera utama pula terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP yang dipadankan kepada lensa ultra sudut lebar 12MP. Kamera swafoto pula kekal 10MP. Gelung logam yang mengelilingi bonggol lensa juga tidak lagi nampak begitu ketara.

Seperti pada Z Fold7, keunikan Z Flip7 tahun ini ialah ciri khusus Galaxy AI untuk peranti skrin lipat. Dalam mod Interpreter, skrin luar boleh memaparkan perbualan yang dialih bahasa secara masa nyata. Google Gemini dan Gemini Live boleh diseru terus menggunakan butang kuasa bersama dengan Circle to Search. Now Brief dan Now Bar daripada siri S25 Ultra akhirnya tiba ke siri Galaxy Flip.

Lebih penting sekali ialah Z Flip7 menggunakan sistem operasi One UI 8 berasaskan Android 16. Ia peranti terawal dilancarkan dengan One UI 8 dan Android 16 di dunia. Peranti ini akan menerima kemas kini 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti sepanjang hayatnya.

Samsung Galaxy Z Flip7 FE pula ialah model lebih mampu milik dengan skrin dalam kekal sebesar 6.7″ dari jenis Dynamic AMOLED 2X 120Hz LTPO dan skrin sekunder ke 3.4″ SAMOLED 120Hz. Ini adalah saiz skrin yang sama seperti Z Flip6 tahun lalu. Malahan sekilas pandang tiada beza yang ketara dapart dilihat. Peranti sekali lagi melepasi piawaian kalis air serta debu IP48.

Peranti dijana oleh cip Exynos 2400, dilengkapi memori sebesar 8GB RAM LPDDR5x, storan sehingga 256GB UFS 4.0, dan bateri pula sebesar 4000 mAh yang sekadar menyokong pengecasan 25W. Kamera utama pula terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP yang dipadankan kepada lensa ultra sudut lebar 12MP. Kamera swafoto pula kekal 10MP.

Perisian dan kemampuan AI pada Flip7 FE adalah sama sahaja dengan Flip7. Walaupun dipasarkan sebagai model lebih mampu milik ia masih mempunyai Galaxy AI, Now Bar, Now Brief, sokongan Gemini serta sokongan kemas kini 7+7 tahun.
Di Malaysia harga jualan Samsung Galaxy Z Flip7 dan Z Flip7 FE adalah seperti di bawah dengan pratempahan boleh dilakukan hari ini sehingga 31 Julai manakala jualan terbuka adalah bermula 1 Ogos. Warna yang ditawarkan untuk Z Flip7 ialah Blue Shadow, Coralred, Jetblack dan Mint. Sementara itu warna yang ditawarkan untuk Z Flip7 FE pula ialah Black dan White.
- Samsung Galaxy Z Flip7 (12/256GB) – RM 4999
- Samsung Galaxy Z Flip7 (12/512GB) – RM 5599
- Samsung Galaxy Z Flip7 FE (8/128GB) – RM 3999
- Samsung Galaxy Z Flip7 FE (8/256GB) – RM 4299
