ASUS Malaysia Perkenalkan Komputer Riba Gaming Baharu Dengan GeForce RTX 5050 – Harga Bermula RM 4,799
Amy Maizuraa
ASUS Malaysia telah memperkenalkan lima model komputer riba gaming baharu yang dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5050. Barisan produk ini merangkumi siri ASUS ROG Strix, TUF Gaming dan ASUS Gaming dengan masing-masing direka untuk memenuhi keperluan berbeza pengguna.

ASUS ROG Strix G16 (2025) hadir dalam dua pilihan model iaitu G614 dan G615. Ia mempunyai reka bentuk fizikal yang serupa namun berbeza dari segi spesifikasi dalaman. Model G614 menggunakan pemproses AMD Ryzen 9 8940HX manakala model G615 dilengkapi dengan Intel Core i5-13450HX.

Kedua-dua model ini disertakan dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5050, memori 16GB DDR5 dan storan SSD berkapasiti 1TB. Paparan bersaiz 16 inci menyokong resolusi sehingga FHD+, kadar segar semula sehingga 165Hz, masa tindak balas sekitar 3ms dan liputan warna DCI-P3. Harga jualan bermula RM 6,599 bagi model G615 dan RM 6,999 untuk model G614.

ASUS TUF Gaming A16 (2025) hadir dengan pemproses AMD Ryzen 7 260 dan pilihan grafik NVIDIA GeForce RTX 5050. Ia menyokong sehingga 16GB memori DDR5-5600 SO-DIMM dan storan sehingga 1TB bergantung pada konfigurasi. Paparannya menggunakan panel IPS LCD bersaiz 16 inci beresolusi 2.5K (2560 x 1600, WQXGA) dan kadar segar semula sehingga 165Hz. Harga permulaan bagi model ini adalah RM 5,999.

ASUS TUF Gaming F16 (2025) menawarkan spesifikasi yang sesuai untuk kegunaan harian dan permainan asas. Ia dilengkapi dengan pemproses Intel Core i5-13450HX dan GPU NVIDIA GeForce RTX 5050. Paparannya berukuran 16 inci dengan resolusi FHD+, nisbah 16:10, kadar segar semula sehingga 165Hz dan liputan warna sRGB 100 peratus. Ia turut didatangkan dengan memori 16GB DDR5 dan storan dalaman 512GB SSD. Harga jualan bagi model ini adalah RM 5,799.

ASUS Gaming V16 (V3607) pula didatangkan dengan pemproses Intel Core 5 Processor 210H dan GPU NVIDIA GeForce RTX 5050. Paparan bersaiz 16 inci menyokong resolusi FHD+, nisbah 16:10, kadar segar semula 144Hz dan liputan warna sekitar 45% NTSC. Ia turut dilengkapi dengan 16GB RAM DDR5 dan storan SSD 512GB. Harga jualan bermula RM 4,799.