Pandang Pertama Huawei Pura80 Ultra – Teknologi Dua Lensa Periskop Dalam Satu Sensor
Amy Maizuraa
Berpeluang menjadi antara individu terawal yang mencuba Huawei Pura80 Ultra merupakan pengalaman yang cukup mengujakan. Reka bentuknya memperlihatkan pendekatan yang lebih kemas berbanding versi Ultra terdahulu dengan penampilan yang malar hijau serta keunikan rupa bentuk yang menyerlahkan ciri tersendiri.
Bagi anda yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang teknologi dan rekaan yang ditawarkan oleh Pura80 Ultra, kami kongsikan artikel pandang pertama yang merangkumi tumpuan utama peranti ini
Spesifikasi
| Huawei Pura80 Ultra | |
|---|---|
| Skrin | LTPO OLED, 120Hz, 1440Hz PWM, 3000 nits 6.8″ (1276 x 2848 pixel) ~459 |
| Pemproses | Kirin 9020 (7 nm) |
| Cip | 1 x 2.5 GHz Taishan Big 3 x 2.15 GHz Taishan Mid 4 x 1.6GHz Cortex-A510 |
| Cip Grafik | Maleoon 920 |
| RAM | 16GB RAM |
| Muatan Dalaman | 512GB ROM |
| Kamera Utama | 50 MP, f/1.6-4.0, PDAF OIS 50 MP, f/2.4, telefoto periskop, 1/1.28″ 12.5 MP, f/3.6, telefoto periskop, OIS 40 MP, f/2.2, ultra-lebar 1.5 M Spectral Camera *Kedua-dua kamera telefoto menggunakan sensor kamera yang sama |
| Kamera Swafoto | 13MP |
| Bateri | 5170mAh Berwayar 100W Nirwayar 80W |
| SIM/Telefoni | 2 Nano, 1 eSIM |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | IP68/69 |
| Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari sisi |
| Harga Jualan | €1499 (~RM7,464) |
Rekabentuk Dan Skrin
Pura80 Ultra mengekalkan identiti reka bentuk melengkung yang menjadi ciri ikonik siri terdahulu, namun kali ini tampil dengan dimensi yang lebih lebar dan berat.

Perubahan ini memberikan perbezaan ketara apabila dibandingkan secara langsung dengan model Pura70 Ultra. Bingkai aluminium yang mengelilingi sisi peranti bukan sahaja menambah sentuhan moden pada reka bentuk malah memberikan sokongan binaan yang kukuh.
Salah satu perubahan paling ketara pada peranti ialah bonggol kamera yang kini hadir dengan saiz lebih besar, memenuhi hampir satu pertiga daripada bahagian belakang peranti. Rekaan ini menjadikannya mudah dikenali sama ada oleh pemiliknya sendiri mahupun sesiapa sahaja di sekeliling.

Menambah daya tarikan peranti ialah pilihan warna Gold Prestige yang memancarkan kilauan seakan emas tulen serta memberikan sentuhan eksklusif pada reka bentuknya. Lebih daripada sekadar warna, ia mencerminkan gaya hidup elegan dan memperlihatkan imej premium yang dibawa oleh peranti ini.
Pura80 Ultra tidak lagi menggunakan mekanisme kamera pop-up seperti yang pernah diperkenalkan pada Pura70 Ultra. Sebaliknya, model ini hadir dengan bonggol kamera berbentuk segi tiga yang lebih kemas dan tersusun, menyerupai reka bentuk model lain dalam siri yang sama. Setiap lensa ditempatkan dalam bonggol kecil tersendiri dan disusun secara kemas dalam satu modul segi tiga yang lebih besar.

Pendekatan ini menggabungkan fungsi dan elemen reka bentuk dalam satu susunan kamera yang kemas serta teratur. Modul kamera turut menampilkan penjenamaan XMAGE yang menunjukkan penggunaan teknologi fotografi khas daripada Huawei untuk model ini. Di samping itu, lampu LED berbentuk bujur ditempatkan dalam ruang yang sama bagi melengkapkan susun atur kamera secara menyeluruh.

Huawei masih mengekalkan susun atur standard dengan meletakkan butang kuasa dan laras audio di bahagian kanan peranti. Namun kali ini, pendekatan baharu diperkenalkan dengan menggabungkan sistem imbasan cap jari terus pada butang kuasa.
Ini berbeza daripada pendekatan terdahulu yang lazimnya menggunakan sensor cap jari dalam skrin untuk peranti mercu mereka. Pendekatan ini mungkin dianggap lebih mudah diakses namun bagi pengguna yang mudah berpeluh seperti saya kaedah ini mungkin kurang selesa untuk digunakan dalam jangka masa panjang.

Di bahagian atas peranti, Huawei meletakkan sensor inframerah dan lubang mikrofon bagi menyokong fungsi kawalan jauh dan rakaman suara. Di bahagian bawah pula, Huawei meletakkan sistem audio stereo, port USB-C, dan slot kad SIM dalam susunan yang kemas bagi memastikan setiap komponen mudah diakses dan kelihatan teratur.
Peranti ini menyokong penarafan kalis air IP68 dan IP69, yang direka untuk memberi perlindungan asas terhadap habuk, percikan air, serta semburan tekanan tinggi dan rendaman dalam situasi tertentu. Di bahagian audio, sistem stereo yang disertakan turut disertai sokongan teknologi Huawei Histen yang berfungsi untuk menambah baik kualiti bunyi secara keseluruhan

Huawei menggunakan paparan melengkung bukan berjenis air terjun untuk Pura80 Ultra. Skrin LTPO AMOLED bersaiz 6.8 inci ini sesuai untuk pelbagai aktiviti harian seperti media sosial, penstriman video dan navigasi aplikasi. Bagi pengguna yang lebih biasa dengan peranti bersaiz kompak, saiz skrin ini mungkin memerlukan sedikit penyesuaian dari segi genggaman dan kawalan sebelah tangan.
Namun begitu, saya secara peribadi tidak menghadapi sebarang kesukaran menggunakannya. Dalam penggunaan awal, skrin menunjukkan prestasi yang memuaskan dengan tahap kecerahan dan masa respons yang sesuai untuk aktiviti harian. Tambahan pula, kadar segar semula 120Hz turut disertakan yang membantu memberikan pengalaman menatal yang lebih lancar dan selesa.
Perkakasan Dan Perisian
Huawei lazimnya tidak mendedahkan secara terperinci maklumat mengenai cip yang digunakan dalam peranti mereka. Semakan di laman web rasmi juga tidak memperincikan spesifikasi teknikal cip tersebut secara jelas.
Setakat artikel ini ditulis, maklumat mengenai cip untuk model global masih belum disahkan secara rasmi oleh Huawei. Bagaimanapun, laporan dari China menyatakan bahawa peranti Pura80 Ultra menggunakan cip Kirin 9020 iaitu cip yang sama digunakan dalam siri Mate70.
Setakat yang diketahui, Huawei menawarkan model Pura80 Ultra dalam satu konfigurasi iaitu memori 12 GB RAM dan storan dalaman 512 GB. Peranti ini tidak menyokong kad microSD dan tiada ciri RAM maya seperti yang biasa ditawarkan oleh beberapa pengeluar China ketika ini.

Pura80 Ultra untuk pasaran global dilengkapi dengan sistem operasi EMUI 15 manakala versi di China menggunakan HarmonyOS 5.1. Dari segi antaramuka, tiada perubahan besar yang dapat dilihat setakat ini. Ikon, susun atur dan elemen visual masih mengekalkan gaya rekaan EMUI sedia ada menjadikannya mudah digunakan bagi mereka yang sudah biasa dengan sistem tersebut.


Melalui EMUI 15, Huawei memperkenalkan beberapa ciri berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang direka untuk memudahkan penggunaan harian dan meningkatkan pengalaman pengguna:
- AI Basketball (Air Hoops): Ciri santai yang membolehkan pengguna bermain permainan bola keranjang ringkas melalui gerakan tangan di skrin kunci, sesuai untuk hiburan ringan.
- AI Messaging: Melindungi privasi dengan menyembunyikan notifikasi mesej apabila sistem mengesan individu lain sedang melihat skrin peranti.
- AI Translation: Membolehkan terjemahan suara dan teks secara masa nyata untuk memudahkan komunikasi merentas bahasa, terutamanya semasa perjalanan ke luar negara.
- AI Best Expression: Menggunakan algoritma pintar untuk mengenal pasti ekspresi wajah terbaik dalam gambar bagi memastikan imej akhir kelihatan semula jadi.
- Emoji Fun (Emoji Crush): Tema:Tema menarik ini membolehkan pengguna menukar ekspresi emoji di skrin dengan hanya menggoncang peranti sekali gus menambah elemen ceria pada antaramuka peranti.


Dalam ucapan pelancaran baru-baru ini, Huawei turut mengumumkan ciri AI Removal akan diperkenalkan melalui kemas kini perisian akan datang walaupun tarikh rasmi pelancarannya masih belum didedahkan. Ciri ini membolehkan pengguna membuang objek atau subjek yang tidak diingini dalam gambar sekali gus menghasilkan imej yang lebih kemas tanpa perlu menggunakan aplikasi pihak ketiga. Selain itu, EMUI 15 menyertakan peningkatan dari segi pengurusan sumber, perlindungan keselamatan dan pengalaman penggunaan yang lebih lancar.
Tetapan Kamera
Pura80 Ultra dilengkapi dengan sistem kamera pelbagai fungsi yang direka untuk memenuhi keperluan fotografi mudah alih. Peranti ini menampilkan lensa sudut lebar 50MP bersaiz 1 inci yang menyokong apertur boleh laras antara f/1.6 hingga f/4.0 serta OIS bagi bantu menghasilkan rakaman yang lebih stabil.

Kamera ini turut disertakan dengan lensa ultra lebar beresolusi 40MP untuk rakaman sudut luas, lensa telefoto periskop beresolusi 50MP dengan sokongan OIS, lensa telefoto periskop beresolusi 12.5MP dan lensa spektrum 1.5MP sebagai sokongan tambahan untuk meningkatkan perincian imej dan ketepatan warna. Di bahagian hadapan, peranti ini hadir dengan kamera swafoto beresolusi 13MP.

Bahagian kamera merupakan antara daya tarikan utama Pura80 Ultra selari dengan pendekatan siri ini yang konsisten menawarkan teknologi terkini. Untuk model kali ini, Huawei memperkenalkan teknologi Switchable Dual-Telephoto Lens iaitu dua lensa telefoto yang berkongsi satu sensor dan boleh bertukar fungsi mengikut keperluan rakaman. Pendekatan ini masih belum meluas dalam fotografi mudah alih, dan mencerminkan usaha Huawei untuk menggabungkan keupayaan rakaman jarak jauh dalam satu sistem kamera yang serba guna.

Secara teknikal, peranti ini menyokong dua tahap zum optikal iaitu 3.7x dan 9.4x yang digabungkan dalam satu sensor besar 50MP dengan susun atur RYYB bersaiz 1/1.28 inci. Huawei menggunakan shutter mekanikal pintar yang mampu mengubah laluan cahaya prisma secara automatik berdasarkan jarak zum yang dipilih pengguna.
Pendekatan ini membolehkan rakaman dari jauh dilakukan sambil mengekalkan butiran imej yang baik sekali gus menjadikan keupayaan kamera sebagai salah satu kelebihan yang ditawarkan oleh peranti ini. Selain itu, sensor utama bersaiz 1 inci menyokong julat dinamik sehingga 16EV yang membolehkan penghasilan imej dengan pencahayaan lebih seimbang walaupun dalam keadaan kontras tinggi seperti cahaya terang dan bayang gelap.





Dari segi kualiti warna dan hasil gambar, Pura80 Ultra memperlihatkan beberapa peningkatan berbanding model terdahulu Pura70 Ultra yang turut dikenal pasti sebagai peranti dengan sistem kamera yang baik. Walaupun masih terlalu awal untuk membuat penilaian secara menyeluruh, prestasi awal Pura80 Ultra menunjukkan potensi untuk menjadi antara peranti yang menonjol dalam segmen fotografi mudah alih.
Pura70 Ultra masih menawarkan prestasi kamera yang baik, namun generasi baharu menerusi Pura80 Ultra memperlihatkan beberapa penambahbaikan yang ketara. Salah satu aspek yang wajar diberi perhatian ialah ketiadaan pilihan rakaman imej dalam nisbah 16:9 yang boleh memberi kesan terhadap proses penyuntingan serta pengalaman tontonan pada paparan bersaiz lebar.




Berdasarkan sampel gambar yang disertakan, pengguna dapat menilai sendiri keupayaan kamera Pura80 Ultra. Penghasilan semula warna kelihatan tepat dengan tona yang jelas, manakala tahap ketajaman imej juga memuaskan. Meskipun demikian, kualiti pencahayaan mungkin sedikit terjejas dalam keadaan kurang cahaya; prestasi keseluruhan masih bergantung pada persekitaran. Edge detection dalam mod potret turut menghasilkan latar belakang kabur yang kemas, termasuk dalam situasi pencahayaan malap seperti di dalam bangunan.


Gambar ultra lebar masih mengekalkan kualiti warna yang baik meskipun prestasinya sedikit terhad dalam keadaan pencahayaan malap. Rakaman makro pula menunjukkan hasil yang memuaskan walaupun ketika menggunakan zum antara 3.7x hingga 10x dengan ketepatan warna yang terjaga. Pasca-proses imej mengambil sedikit masa sebelum hasil akhir diperolehi namun kualiti keseluruhan yang ditunjukkan tetap memuaskan.



Bateri Dan Pengecasan
Peranti ini dilengkapi dengan bateri berkapasiti 5,170mAh yang menyokong pengecasan pantas 100W secara berwayar dan 80W nirwayar. Selain itu, fungsi pengecasan berbalik turut disediakan yang membolehkan peranti ini digunakan untuk mengecas peranti lain secara mudah.
Kesimpulan

Pada pandangan awal, Pura80 Ultra bukan sekadar telefon biasa sebaliknya merupakan gabungan teknologi canggih, reka bentuk elegan, dan keupayaan fotografi profesional dalam satu peranti. Bagi pengguna yang mementingkan prestasi serta gaya, peranti ini wajar diberi perhatian. Bagaimanapun, prestasi sebenar termasuk pengalaman harian, keupayaan kamera yang menyeluruh, dan ketahanan bateri akan dinilai secara lebih terperinci dalam ulasan akan datang. Huawei turut mengesahkan bahawa peranti ini akan memasuki pasaran Malaysia secara rasmi pada 24 Julai 2025.