Kerajaan Ingin Mewajibkan Label “Janaan AI” Pada Perkongsian Kandungan Yang Dijana AI
Aman
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil kini menyatakan kerajaan sedang pertimbangkan untuk mewajibkan label kandungan untuk kandungan-kandungan yang dijana menggunakan kecerdasan buatan. Perkara ini akan dikuat-kuasakan dibawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 yang bakal berkuat-kuasa pada penghujung tahun ini.
Langkah ini dilihat sangat penting dalam menangani penyalahgunaan kecerdasan buatan, terutamanya di media sosial – yang boleh membawa kepada penipuan, fitnah, penyamaran, dan lain-lain. Label ini akan perlu dilaksanakan oleh platform media sosial, dan pemilik platform-platform lain.

Malah, baru-baru ini, terdapat beberapa laporan mengatakan tertipu dengan penggunaan kecerdasan buatan dalam mempromosikan lokasi yang tidak wujud – sekaligus memberikan impak kepada mereka yang kesana, terutamanya warga berusia yang sukar mengenali kandungan janaan kecerdasan buatan.
Menteri turut menyatakan yang mana pada hari ini terdapat beberapa platform telah mula melaksanakan pelabelan kandungan janaan kecerdasan buatan secara sukarela, dalam membantu pengguna mereka mengenal-pastinya.