Ulasan Oppo Reno14 Pro 5G – Kemas, Versatil Dan Efisien
Amy Maizuraa
Oppo Reno14 Pro mengekalkan identiti utama siri ini seperti bucu melengkung, saiz skrin hampir sama dan bingkai aluminium kukuh. Reka bentuk asas masih dikekalkan, namun penambahbaikan kosmetik pada bahagian belakang dan modul kamera memberikan penampilan lebih segar serta moden, selari dengan trend semasa.

Dalam generasi terbaharu, Reno14 Pro hadire dengan dengan beberapa peningkatan yang memberikan nilai tambah kepada pengguna. Antaranya ialah sistem kamera lebih canggih yang menghasilkan foto dan video berkualiti tinggi mengikut keadaan pencahayaan. Prestasi keseluruhan dipertingkat melalui penggunaan cip pemproses lebih efisien manakala perisian turut ditambahbaik bagi memastikan operasi lebih lancar. Berikut ialah ulasan penuh mengenai Oppo Reno14 Pro.
Spesifikasi
| OPPO Reno14 Pro 5G | |
|---|---|
| Skrin | 6.83-inci 120Hz, HDR10+, 1200 nits 1272 x 2800 pixels (~450 ppi density) Corning Gorilla Glass 7i |
| Pemproses | Mediatek Dimensity 8450 (4 nm) |
| Cip | Octa-core 3.25 GHz |
| Cip Grafik | Mali-G720 MC7 |
| RAM | 12GB RAM LPDDR5X RAM Maya (+12GB RAM) |
| Muatan Dalaman | 512GB UFS 4.0 |
| Kamera Utama | 50 MP, f/1.8, (wide), OIS 50 MP, f/2.8, (periscope telephoto) OIS 50 MP, f/2.0, (ultrawide), AF |
| Kamera Depan | 50 MP, f/2.0 |
| Bateri | 6200 mAh Berwayar 80W Nirwayar 50W |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano /5G |
| NFC | Ya |
| Infra Merah | Ya |
| Kalis Air | IP68/69 |
| Sistem Imbasan | Imbasan cap jari Imbasan wajah |
| Harga Jualan | RM2999 (12/512GB) |
Pengalaman Penggunaan
Kali pertama menggenggam peranti, reka bentuknya kelihatan kemas dan selesa di tangan. Bahagian belakang diperbuat daripada kaca licin yang memantulkan cahaya mengikut sudut pandangan, sementara bingkai aloi aluminium dengan kemasan pusam melengkapi penampilan premium. Dengan ketebalan sekitar 7.3 milimeter dan berat 187 gram, peranti ini sesuai untuk penggunaan sepanjang hari.

Bahagian hadapan Reno14 dilindungi Gorilla Glass 7i yang membantu mengurangkan kesan penggunaan harian serta calar kecil. Skrinnya menggunakan panel AMOLED rata bersaiz 6.83 inci dengan resolusi 1.5K dan kadar segar semula 120Hz. Paparan kelihatan terang dengan pergerakan animasi yang lancar, manakala kadar pensampelan sentuh 240Hz boleh menjamin respons pantas terutamanya ketika bermain permainan mudah alih.

Apabila skrin diaktifkan, paparan Reno14 kelihatan terang dan jelas. Reka bentuk skrin rata turut bantu mengurangkan sentuhan tidak sengaja di bahagian sisi. Sokongan Widevine L1 membolehkan penstriman kandungan HD melalui aplikasi seperti Netflix dan YouTube, sementara HDR turut disokong dalam aplikasi tertentu yang serasi.

Reno14 dilengkapi modul kamera empat segi yang menyerupai gaya iPhone terkini. Ia menempatkan dua sensor utama bersama satu sensor tambahan dalam potongan kapsul yang kemas, lengkap dengan lampu LED tersusun rapi. Bahagian belakang berkilat menambah elemen visual menarik namun mudah memerangkap kesan cap jari. Ketiadaan bicu audio 3.5mm mungkin menjadi kekangan buat sesetengah pengguna yang masih bergantung kepada aksesori berwayar.

Reno14 Pro menampilkan kemasan belakang dengan corak Iridescent Mermaid Design diinspirasikan daripada kilauan sisik ikan duyung. Kemasan ini menghasilkan kesan cahaya pelangi lembut apabila terkena pencahayaan dari sudut tertentu untuk sentuhan visual yang unik. Reka bentuk ini menawarkan penampilan yang sedikit berbeza dan berpotensi menarik minat pengguna muda yang mengutamakan keunikan.

Reno14 Pro hadir dalam dua pilihan warna iaitu Opal White dengan rona cerah dan pantulan cahaya pelbagai arah serta Titanium Grey yang tampil lebih minimalis. Dimensi fizikalnya sedikit berbeza dengan ketebalan sekitar 7.48mm dan berat 201g. Bahagian sisi yang dibulatkan bersama bezel seimbang memberikan cengkaman yang selesa manakala rekaan skrin berlubang di tengah mengekalkan gaya minimalis yang kemas.

Susun atur fizikal Reno14 Pro direka secara teratur. Butang kuasa dan kawalan audio ditempatkan di sisi kanan manakala pemancar inframerah di bahagian atas menawarkan fungsi tambahan untuk kawalan peranti seperti televisyen atau alat elektronik. Di bahagian bawah, terdapat port USB-C dan pembesar suara. Meskipun ketiadaan bicu audio 3.5mm mungkin kurang sesuai bagi sesetengah pengguna, fungsi inframerah menambah nilai dari aspek kebolehgunaan.

Reno14 Pro melepasi penarafan IP66, IP68 dan IP69 untuk perlindungan menyeluruh terhadap habuk, kelembapan dan tekanan air pada tahap tertentu. Port USB yang dilapisi platinum turut membantu mengurangkan risiko hakisan dalam jangka masa panjang. Sepanjang penggunaan harian, peranti menunjukkan tahap ketahanan fizikal yang memuaskan, asalkan digunakan mengikut panduan yang disarankan oleh pengeluar.
Reno14 Pro hadir dengan ciri keselamatan seperti pengimbas cap jari dalam skrin dan pengecaman wajah. Kedua-dua fungsi ini berfungsi dengan baik untuk membuka peranti, namun keberkesanannya mungkin dipengaruhi oleh pencahayaan dan sudut imbasan semasa digunakan.
Peranti ini turut dilengkapi dengan sistem audio stereo. Kualiti bunyi yang dihasilkan daripada pembesar suara didengar dengan jelas, termasuk pada tahap kelantangan maksimum, tanpa sebarang gangguan ketara pada prestasi audio.

Pengalaman audio menerusi fon telinga pada Reno14 Pro adalah memuaskan. Ia dilengkapi beberapa pilihan mod boleh suai seperti Smart, Movie, Game dan Music bagi penyesuaian audio mengikut senario penggunaan. Bagaimanapun, peranti ini tidak menyokong siaran radio FM. Sebagai tambahan, Reno14 Pro menyokong pengecasan nirwayar yang memberikan kemudahan dalam pelbagai situasi tanpa kebergantungan pada kabel.
Perkakasan Dan Perisian
Reno14 Pro menggunakan cip MediaTek Dimensity 8450 (4nm). Peranti turut dilengkapi dengan pilihan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB, serta menyokong RAM maya sehingga 12GB untuk pengalaman penggunaan lebih responsif.

Sepanjang tempoh penggunaan harian, Reno14 Pro menunjukkan prestasi operasi yang stabil dan lancar tanpa sebarang isu ketara. Respons skrin sentuh serta kelancaran tatalan didapati berfungsi dengan baik dan konsisten. Secara keseluruhan, prestasi peranti ini dilihat mampu menyokong tugasan harian dengan baik selari dengan keupayaan dan spesifikasi telefon pintar semasa.
AnTuTu 3D
| Peranti | Skor |
| Oppo Reno14 Pro | 1437541 |
| Honor 400 Pro | 1861573 |
| Xiaomi 15 | 2,341,598 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 1,946,864 |
| Oppo Find X8 Pro | 2,629,017 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 1,720,751 |
| Google Pixel 9 Pro XL | 1,016,712 |
Geekbench 6
| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Oppo Reno14 Pro | 1615 | 6174 |
| Honor 400 Pro | 12024 | 6083 |
| Xiaomi 15 | 2918 | 8917 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 2957 | 9435 |
| Oppo Find X8 Pro | 2663 | 8959 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 3359 | 8129 |
| Google Pixel 9 Pro XL | 1916 | 4644 |
3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Oppo Reno14 Pro | 3780 |
| Honor 400 Pro | 4467 |
| Xiaomi 15 | Tidak boleh dilakukan |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 6135 |
| Oppo Find X8 Pro | 6251 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 4560 |
| Google Pixel 9 Pro XL | 2567 |
Reno14 Pro menawarkan prestasi permainan yang stabil dalam kebanyakan situasi. Bagi permainan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), tetapan grafik Ultra boleh digunakan dengan kadar bingkai maksimum mencecah sehingga 121fps. Namun, dalam sesetengah keadaan, kadar ini mungkin turun ke sekitar 114 hingga 112fps bergantung pada tahap intensiti permainan.

Bagaimanapun, apabila menggunakan tetapan High atau Ultra dengan kadar 60fps, prestasi kekal konsisten dan stabil sepanjang sesi permainan. Kualiti grafik serta pergerakan animasi dirasakan lancar memberikan pengalaman bermain yang memuaskan. Sepanjang ujian, tiada isu kepanasan ketara dikesan yang boleh mengganggu prestasi permainan.
Bagi permainan Honor of Kings (HOK), Reno14 Pro mampu mengekalkan kadar bingkai stabil 60fps apabila dimainkan pada tetapan High atau Ultra. Apabila ditetapkan kepada Max atau Ultra, kadar bingkai maksimum yang dicapai ialah sehingga 120fps dengan penurunan kecil ke sekitar 117fps dalam situasi tertentu. Sepanjang sesi permainan, peranti ini beroperasi dalam keadaan yang kekal suam tanpa menunjukkan peningkatan suhu yang ketara.

Reno14 Pro hadir dengan sistem operasi ColorOS 15 berasaskan Android 15. Sistem ini menawarkan pelbagai ciri pintar dan praktikal untuk meningkatkan pengalaman penggunaan harian. Antaramukanya dilihat mesra pengguna. Fungsi Floating Windows membolehkan aplikasi dibuka dalam tetingkap kecil, sambil pengguna kekal berada dalam aplikasi utama. Fungsi Large Folders pula membolehkan folder diperbesar di skrin utama untuk akses pantas ke aplikasi kegemaran. Susun atur Stacked Layout menyusun notifikasi dan widget dengan lebih kemas serta efisien.

ColorOS 15 turut menampilkan ciri berasaskan AI bagi menyokong pengurusan maklumat secara mudah. Fungsi AI Mind Space membolehkan nota dan nombor telefon disimpan hanya dengan meleret tiga jari pada skrin. AI VoiceScribe menawarkan keupayaan merakam, menterjemah dan meringkaskan perbualan dalam lebih 20 bahasa. AI Call Summary dan AI Translator pula berfungsi untuk meringkaskan kandungan panggilan serta menyampaikan terjemahan langsung secara automatik semasa panggilan dibuat.


Bagi pengalaman fotografi, sistem ini menyertakan AI Perfect Shot dan AI Recompose. Kedua-dua ciri digunakan untuk membaiki ekspresi wajah dan komposisi foto secara automatik berdasarkan rujukan imej dalam galeri. Ia boleh bantu menghasilkan gambar yang lebih kemas tanpa perlu suntingan manual.
Untuk peminat permainan mudah alih, ColorOS 15 menyokong AI HyperBoost 2.0. Ciri ini mengekalkan kadar bingkai stabil semasa permainan intensif. AI LinkBoost 3.0 pula memastikan sambungan rangkaian lancar walaupun berada di kawasan liputan yang lemah. Ia juga diintegrasikan dengan Google Gemini AI. Melalui Gemini Assistant, pengguna boleh mengurus jadual dan tugasan harian menggunakan aplikasi seperti Calendar dan Notes.
Kamera Peranti
Reno14 Pro dilengkapi dengan sistem tri-kamera utama. Ia terdiri daripada lensa 50MP lebar dengan OIS, periskop telefoto 50MP yang menyokong zum optikal sehingga 3.5x, serta ultra lebar 50MP dengan sudut pandang seluas 116 darjah. Kamera peranti ini turut menyertakan beberapa ciri tambahan seperti sensor spektrum warna bagi kepekaan cahaya yang lebih baik, sokongan lampu LED untuk tangkapan waktu malam, dan mod HDR serta panorama untuk menghasilkan gambar yang lebih seimbang.

Reno14 Pro juga menyokong rakaman video sehingga resolusi 4K pada kadar 30 atau 60 bingkai sesaat, serta rakaman gerak perlahan pada resolusi 1080p sehingga 240fps. Kamera peranti ini turut dilengkapi dengan teknologi gyro-EIS dan sokongan HDR yang membantu menghasilkan video yang stabil dan jelas dalam kebanyakan situasi.


Reno14 Pro menawarkan teknologi AI Flash Photography yang direka untuk meningkatkan hasil rakaman dalam keadaan pencahayaan rendah. Sistem menyokong pencahayaan tambahan yang boleh disesuaikan secara automatik mengikut keadaan sekeliling bagi memastikan subjek kelihatan lebih seimbang. Prestasi fungsi ini juga bergantung kepada beberapa faktor seperti jarak antara subjek dan kamera, serta tahap pencahayaan ambien semasa rakaman berlangsung.


Reno14 Pro turut menawarkan beberapa ciri suntingan pintar berasaskan AI untuk imej dan video lebih kemas. Melalui fungsi AI Recompose, pengguna boleh membetulkan semula komposisi gambar. Ia berguna bagi imej yang diambil daripada sudut kurang sesuai. Susun semula komposisi menjadikan foto kelihatan lebih seimbang. AI Perfect Shot pula bantu membaiki ekspresi wajah dalam tangkapan spontan. Contohnya termasuk mata tertutup atau senyuman tidak elok.


Peranti turut membolehkan pengguna menukar rakaman video 4K kepada imej bergerak. Mereka boleh memilih bingkai tertentu daripada rakaman video. Bingkai yang dipilih boleh dijadikan foto pegun beresolusi tinggi yang sesuai untuk simpanan atau perkongsian.


Terdapat juga Mod Rakaman Bawah Air yang membolehkan rakaman imej berhampiran atau dalma air dibuat. Pengguna dinasihatkan mengikuti garis panduan penggunaan bagi memastikan prestasi dan keselamatan peranti terjamin semasa rakaman dalam persekitaran lembap.
Kualiti Gambar
Kamera utama Reno14 Pro berfungsi dengan baik. Hasil gambar kelihatan tajam dan penuh dengan butiran jelas. Warna juga menyerlah serta seimbang. Julat dinamik dilihat baik dalam kebanyakan keadaan. Lensa ultra lebar masih mampu mengekalkan perincian secara keseluruhan. Namun, objek kecil seperti daun mungkin kelihatan kurang tajam berbanding subjek utama. Kesan herotan di sisi imej adalah sangat minimum. Malah, ia sukar disedari dan tidak menjejaskan imej secara ketara.








Dalam mod potret, kamera Reno14 Pro kadangkala menghadapi kesukaran memisahkan subjek utama daripada latar belakang. Situasi ini lazim berlaku apabila terdapat objek lain yang bersentuhan secara visual dengan subjek utama. Kesilapan tersebut boleh menjejaskan kesan bokeh yang dihasilkan. Namun begitu, hasil bokeh secara keseluruhan masih kelihatan menarik.



Pemisahan subjek dalam mod potret tidak sentiasa kemas. Kekeliruan dalam pengecaman lebih ketara apabila latar belakang mengandungi elemen yang kompleks. Kesilapan ini boleh menjejaskan kejelasan subjek dan kesan kabur latar. Selain itu, terdapat perubahan kecil pada tona warna kulit apabila fungsi zum digunakan. Pada tahap zum 3.5x, tona kulit kelihatan sedikit kemerahan. Sebaliknya, pada zum 1x dan 2x, warna kulit kelihatan lebih semula jadi dan menyerupai rona asal.





Rakaman waktu malam menggunakan Reno14 Pro menunjukkan prestasi yang baik. Dalam keadaan pencahayaan belakang terlalu terang, subjek mungkin kelihatan pudar. Penuras Radiance boleh bantu menambah baik kualiti imej dalam suasana cahaya rendah. Gambar masih kelihatan tajam, namun pencahayaan tambahan boleh membantu mendapatkan hasil yang lebih baik. Masalah hingar berada pada tahap yang terkawal. Ia langsung tidak menjejaskan kualiti keseluruhan gambar.


Mod flash automatik Reno14 Pro berfungsi menyerupai ciri kamera digital lama. Ia bantu mencerahkan subjek tanpa menyebabkan kesan terlalu terang atau ‘overexposed’. Butiran pada subjek masih kelihatan jelas. Apabila flash dihidupkan secara berterusan, cahaya bukan sahaja memfokuskan pada subjek utama, malah turut menyinari latar belakang untuk hasil gambar yang lebih seimbang.


Walaupun dibantu oleh AI, gambar yang diambil masih kelihatan semula jadi dan tidak menunjukkan kesan suntingan berlebihan. Bagaimanapun, prestasi flash automatik agak terhad. Ia hanya benar-benar berfungsi dalam suasana yang sangat gelap. Flash juga kadangkala tidak konsisten dalam mengenal pasti tahap pencahayaan persekitaran.
Bateri Dan Pengecasan

Sepanjang tempoh ulasan, Reno14 Pro menunjukkan prestasi bateri memuaskan. Peranti ini dilengkapi dengan bateri 6,200mAh. Untuk pengguna dengan SOT lima jam atau kurang, bateri mampu bertahan sehingga satu setengah hari. Dalam penggunaan lebih ekstrem dengan SOT sekitar tujuh jam, baki bateri masih berada pada sekitar 30%. Peranti ini turut menyokong pengecasan pantas 80W yang mengambil masa kira-kira 50 minit untuk pengecasan penuh. Selain itu, ia menawarkan pengecasan nirwayar 50W.
Apa Di Dalam Kotak
Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima:
- 1 x Oppo Reno14 Pro.
- 1 x Kepala Pengecas 80W.
- 1 x Kabel USB-C ke USB-A.
- 1 x Kerangka Silikon.
- 1 x Manual Pengguna.
- 1 x Pencungkil SIM.
Reno14 Pro merupakan sebuah peranti yang menawarkan keseimbangan dari segi reka bentuk, prestasi dan ciri pintar. Ia sesuai untuk pengguna yang mengutamakan pengalaman harian yang lancar, sokongan AI menyeluruh serta sistem kamera yang serba boleh.

Dari sudut positif, Reno14 Pro menampilkan reka bentuk premium menerusi kemasan Velvet Glass dan binaan aluminium yang kukuh. Paparan AMOLED bersaiz 6.83 inci menyokong kadar segar semula 120Hz serta HDR10+ memberikan pengalaman visual yang tajam, terang dan responsif. Sistem tri-kamera 50MP termasuk telefoto 3.5x pula menawarkan hasil potret dan zum optikal yang konsisten dalam pelbagai keadaan pencahayaan.
Peranti ini turut dilengkapi bateri 6,200mAh yang mampu bertahan lebih sehari dengan sokongan pengecasan pantas 80W dan pengecasan nirwayar 50W untuk kemudahan tambahan. Selain itu, ciri berasaskan AI seperti AI VoiceScribe dan AI Flash Photography membantu meningkatkan produktiviti harian melalui rakaman, suntingan dan terjemahan automatik yang lebih efisien.

Namun begitu, beberapa kekangan wajar diberi perhatian. Prestasi kamera malam dan ultra-lebar masih boleh dipertingkatkan, khususnya dari segi kawalan flare serta ketepatan warna. Ketiadaan sokongan format RAW dalam mod Pro turut mengehadkan kawalan manual terutamanya bagi pengguna yang lebih mahir dalam fotografi. Selain itu, ColorOS masih menyertakan aplikasi pra-pasang seperti Hot Apps dan App Market yang berpotensi mengganggu pengalaman penggunaan bagi sesetengah pengguna.
Walaupun terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam beberapa aspek seperti fotografi malam dan penyelarasan antaramuka, Reno14 Pro 5G kekal sebagai pilihan seimbang bagi pengguna yang mengutamakan gaya, keupayaan kamera pelbagai guna dan prestasi harian yang efisien.
Kelebihan
- Reka bentuk premium dan tahan lasak.
- Paparan AMOLED 1.5K 120Hz dengan HDR10+
- Prestasi memadai dengan Dimensity 8450.
- Tri-kamera 50MP dengan OIS.
- Bateri besar dan pengecasan pantas.
- Sokongan AI dan ciri kamera menarik.
Kontra
- Prestasi kamera dalam pencahayaan rendah masih lemah.
- Ketiadaan sokongan kad microSD.
- Tiada bicu audio 3.5mm.
- Hayat bateri didapati tidak konsisten dalam beberapa situasi penggunaan.
- Kehadiran aplikasi gendut berpotensi mengganggu pengalaman penggunaan.
- Prestasi peranti sedikit menurun apabila suhu meningkat.