Samsung Galaxy F36 Akan Diperkenalkan Pada Hujung Minggu Ini Untuk Pasaran India
Nazrin
Hanya seminggu selepas pelancaran siri peranti boleh lipat mercu mereka, Samsung dijangka akan memperkenalkan satu lagi model peranti pintar baru, kali ini untuk pasaran kelas pertengahan dengan Samsung Galaxy F36.

Peranti pintar ini hadir menggunakan paparan Super AMOLED dengan kaca Gorilla Glass Victus+ bersaiz 6.7 inci dengan kadar segar semula 120Hz dan resolusi 1080×2340 pixel. Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Samsung Exynos 1380 dan akan tampil dengan sistem operasi Android 15 dengan antaramuka OneUI 7.
Dari segi pilihan memori dan storan pula, peranti ini menawarkan sehingga 8GB memori LPDDR5X dan storan sehingga 256GB yang boleh ditambah menggunakan kad MicroSD sekiranya diperlukan.

Di bahagian belakang, peranti ini dilengkapi dengan sistem kamera tiga lensa yang terdiri daripada kamera utama 50MP yang dilengkapi dengan sistem penstabilan imej optikal, kamera ultra-lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Kamera swafoto pula tampil dengan sensor 13MP. Kedua-dua kamera tampil dengan kebolehan untuk merakam video pada resolusi 4K.
Dari segi rangka peranti, apa yang dapat diperlihatkan ialah bahagian sisi diperbuat daripada logam, dan yang menariknya, bahagian belakang peranti ini hadir dengan penutup yang diperbuat daripada kulit tiruan, dengan pilihan warna merah dan biru.

Samsiung Galaxy F36 juga nampaknya akan tampil dengan sejumlah ciri-ciri AI yang akan membantu pengguna untuk mengambil gambar dan video yang tajam dan bersih, dan memudahkan proses penyuntingan terus dari peranti.

Samsung Galaxy F36 nampaknya akan dilancarkan khusus untuk pasaran India, dimana ia dikatakan menyerupai spesifikasi peranti Samsung Galaxy M36 yang dilancarkan baru-baru ini juga. Samsung telah menyenaraikan peranti ini di kedai atas-talian mereka di Flipkart, dan nampaknya akan dijual secara eksklusif juga di pasaran tersebut.
[sumber]Flipkart[/sumber]