Grab Menguji Ciri Saver Shuttle Di Kawasan Putrajaya
Nazrin
Jika anda bekerja ataupun menetap di kawasan Putrajaya, Grab kini dilihat sedang menguji sebuah ciri pengangkutan berkongsi baru yang dinamakan Grab Saver Shuttle. Dengan fungsi ini, anda boleh mendapatkan pengangkutan berkongsi pada harga mampu milik untuk bergerak di sekitar Putrajaya.
Melalui pengumuman yang diperlihatkan oleh Grab pada aplikasi mereka, pilihan pengangkutan ini disediakan khusus untuk perjalanan pergi dan balik ke Putrajaya Sentral ke kawasan-kawasan berikut:
- Presint 1,2, 3, 4, 5, 8, 9, 18
- IOI City Mall
- UiTM Dengkil

Perkhidmatan ini sesuai untuk mereka yang mahu pergi ke dan balik dari Putrajaya Sentral ke kawasan-kawasan yang dinyatakan, dan tidak begitu kisah untuk berkongsi kenderaan dengan beberapa penumpang yang lain.
Buat masa ini, pilihan pengangkutan Grab Saver Shuttle ini beroperasi dari Isnin ke Jumaat (tidak termasuk cuti umum) dari 7 pagi ke 7 petang. Setiap tempahan Grab Saver Shuttle ini juga hanya boleh menerima satu pelanggan sahaja pada satu-satu masa. Pemandu juga hanya akan menunggu selama tiga minit untuk ketibaan anda. Yuran lewat akan dikenakan sekiranya anda tiba lebih lewat daripada tempoh masa tersebut.

Kami sedang menunggu jawapan dari Grab Malaysia tentang beberapa butiran tambahan seperti jenis kenderaan yang digunakan untuk perkhidmatan Saver Shuttle ini dan juga tempoh ujian beta tersebut.
Kemaskini: Kami telah diberitahu oleh pihak Grab Malaysia bahawa kenderaan yang digunakan untuk perkhidmatan Saver Shuttle ini adalah kenderaan-kenderaan seru-pandu Grab sedia ada. Buat masa ini, ia sedang diuji sebagai sebuah projek perintis, dan akan ditawarkan di kawasan sekitar Putrajaya Sentral terlebih dahulu untuk menguji keberkesanannya untuk menawarkan perkhidmatan pengangkutan yang selesa dan mampu milik.