Butiran CPU Dan Pengumuman Peranti Lipat-Tiga Samsung Tertiris
Nazrin
Baru-baru ini, Samsung telah melancarkan model terbaru dalam siri peranti boleh lipat mereka, Samsung Galaxy Z Fold7 dan Samsung Galaxy Z Flip7.
Terkini, terdapat beberapa butiran mengenai peranti lipat-tiga yang akan dilancarkan oleh Samsung, yang masih belum hadir dengan nama rasmi lagi. Pertama ialah “pengesahan” bahawa peranti lipat-tiga tersebut akan menggunakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite, cip pemprosesan sama yang menguasakan Samsung Galaxy Z Fold7 dan Samsung Galaxy S25 Ultra.
Perkara ini ditemui didalam kod sumber perisian beta OneUI 8, yang memperlihatkan teks “siop_q7mq_sm8750.”. Pertama, kita tahu bahawa SM8750 merupakan nama kod untuk SoC Qualcomm Snapdragon 8 Elite. Kedua, teks q7mq pula adalah kod nama dalaman untuk peranti lipat-tiga tersebut.

Ia juga dijangka hadir dengan paparan skrin 10 inci apabila lipatan dibuka sepenuhnya.
Seperti yang kami laporkan sebelum ini, TM Roh juga mengatakan bahawa peranti tersebut akan diperkenalkan pada tahun ini, tetapi menurut peniris maklumat, Samsung dijangka akan memperkenalkannya pada bulan Oktober ini, dan penjualannya selepas itu.
Satu lagi isu ialah berkaitan penawarannya. Terdapat juga maklumat yang mengatakan bahawa peranti lipat-tiga ini hanya akan ditawarkan di pasaran Korea Selatan dan China terlebih dahulu. Kita nampaknya akan perlu menunggu butiran lanjut mengenainya dari Samsung tidak lama lagi.
[sumber]Android Authority[/sumber]