Jam Tangan Kospet Magic P10 Dan Magic R10 Ditawarkan Di Malaysia Pada Harga RM699
Amy Maizuraa
Kospet hadir dengan dua model jam tangan baharu untuk pasaran Malaysia menerusi Magic P10 dan Magic R10. Walaupun berbeza nama dan reka bentuk, kedua-dua model berkongsi banyak persamaan dari segi fungsi dan spesifikasi.

Magic P10 hadir dengan skrin AMOLED segi empat berukuran 1.96-inci beresolusi 410 × 502 piksel, manakala Magic R10 menampilkan skrin bulat 1.43-inci dengan resolusi 466 × 466 piksel. Kedua-dua model dilengkapi oleh cip Action3085S dwi-teras, menyokong Bluetooth 5.3 untuk sambungan yang stabil serta sistem navigasi satelit dwi-jalur L1 + L5 GNSS yang tepat untuk aktiviti luar.

Antara ciri pemantauan kesihatan yang tersedia termasuk kadar degupan jantung, tahap oksigen dalam darah (SpO₂), pola tidur, tahap tekanan dan emosi harian. Pengguna wanita turut mendapat akses kepada fungsi penjejakan kitaran haid untuk pemantauan yang lebih menyeluruh. Dari segi kecergasan, kedua-dua model baharu ini mampu menjejak lebih 180 jenis aktiviti sukan dan dilengkapi ketahanan air 5ATM bagi sokongan gaya hidup aktif.

Bateri disediakan boleh berfungsi sehingga 18 jam bagi penggunaan penuh, 12 hari untuk penggunaan biasa dan 50 hari dalam mod siap sedia. Magic P10 dan R10 ditawarkan pada harga RM699 dan akan mula dijual di Malaysia pada 21 Julai 2025. Ia boleh didapati menerusi kedai rasmi Kospet di Shopee, Lazada dan TikTok Shop.