WhatsApp Membangunkan Ciri Quick Recap Untuk Ringkasan Mesej Lebih Mudah
Amy Maizuraa
WhatsApp sedang membangunkan satu ciri baharu yang dikenali sebagai Quick Recap. Ia bertujuan membantu pengguna memahami mesej yang belum dibaca dengan lebih tersusun dan efisien. Ia turut direka untuk memudahkan pengguna mendapatkan gambaran menyeluruh tentang perbualan penting tanpa perlu membaca mesej secara manual satu persatu.

Melalui fungsi Quick Recap, pengguna boleh memilih sehingga lima perbualan yang ingin diringkaskan. Aplikasi ini akan menjana rangkuman mesej penting daripada setiap perbualan terpilih. Ciri ini dijangka dapat meningkatkan tahap produktiviti pengguna terutamanya mereka yang kerap menerima mesej dalam jumlah besar.
Apa yang menjadikannya unik ialah penggunaan teknologi Private Processing yang dibangunkan oleh Meta. Teknologi ini bertindak sebagai ruang pemprosesan selamat di mana mesej pengguna diproses secara peribadi dan tidak boleh diakses oleh mana-mana pihak termasuk WhatsApp dan Meta. Mesej yang dipilih akan dilindungi menerusi penyulitan lanjutan dan pemprosesan asing bagi memastikan data kekal sulit sepanjang proses berlangsung.

WhatsApp turut mengekalkan perlindungan terhadap perbualan yang menggunakan ciri Advanced Chat Privacy. Perbualan yang telah diaktifkan dengan ciri ini tidak akan disertakan dengan Quick Recap bagi menghormati pilihan pengguna yang mahu mengelakkan penggunaan AI dalam perbualan tertentu.
Quick Recap adalah ciri pilihan yang perlu diaktifkan secara manual oleh pengguna melalui tetapan aplikasi. Buat masa ini, ciri tersebut masih dalam pembangunan dan dijangka akan diperkenalkan kepada umum dalam kemas kini akan datang.
[sumber] wabetainfo [/sumber]