Google Pixel 10 Dilengkapi Tri-Kamera Seperti Pixel 10 Pro
Effi Saharudin
Siri Google Pixel 10 akan dilancarkan pada 20 Ogos depan dan seperti biasa apabila peranti hampir dilancarkan rekaannya mula tetiris ke arena web. Hari ini Android Headlines berkongsi rekaan Pixel 10 dan ia akhirnya hadir dengan tri-kamera di bahagian belakang selepas sekian lama hanya hadir dengan dwi-kamera.

Kamera terdiri daripada lensa sudut lebar, ultra lebar dan telefoto. Ini menjadikan siri Pixel 10 yang pertama hadir dengan lensa telefoto. Ini sedikit sebanyak meletakkan Google akhirnya setanding dengan pengeluar Android lain yang menyertakan tri-kamera pada model mercu bukan premium mereka.

Pixel 10 Pro masih akan mengekalkan konfigurasi tri-kamera dan bukannya kuad-kamera seperti dilakukan Samsung, Oppo dan Xiaomi. Selepas imej pengolokan rasmi di atas tertiris, Google terus berkongsi imeh sebenar Pixel 10 di laman mereka seperti di atas.
Selain siri Pixel 10 biasa, Pixel 10 Pro Fold dan Pixel Watch 4 juga akan dilancarkan acara Made by Google pada 20 Ogos kelak. Ia akan menggunakan Android dengan antaramuka Material 3 Expresive serta mod desktop.