Robot Walker S2 Boleh Menggantikan Sendiri Bateri Untuk Bekerja Tanpa Henti
Effi Saharudin
Robot menggantikan pekerja manusia di kilang sejak 1962 dengan ia mengangkat kepingan logam yang dimasukkan ke dalam mesin menghasilkan panel kereta oleh General Motors. Pengguna robot kini dikembangkan pula ke pusat penghantaran barang serta kilang. Walaupun bekerja tanpa mengeluh, robot masih perlu berhenti untuk mengecas bateri.
Di UBTech, mereka menyelesaikan isu ini menerusi robot Walker S2 yang boleh menggantikan baterinya sendiri. Ini menjadikan Walker S2 robot berbentuk manusia pertama dengan kemampuan yang membolehkan ia bekerja tanpa henti untuk dicas. Setiap Walker S2 dilengkapi dua pek bateri.
Apabila salah satu bateri kehabisan caj, robot ini akan ke stesen gantian bateri untuk mendapatkan pek bateri baharu. Masa yang diambil hanya beberapa minit dan lebih pendek berbanding masa diambil pekerja manusia ke tandas atau makan.

UBTech ialah sebuah syarikat robotik yang berpangkalan di Shenzhen China. Dalam video yang dikongsi, Walker S2 dilihat bekerja di lantai kilang kereta. Pada ketika ini UBTech tidak mengatakan sama ada Walker S2 akan ditawarkan kepada pelanggan dan apakah spesifikasi Walker S2 berbanding robot lain keluaran mereka.
Sebelum menghasilkan robot yang boleh menggantikan bateri sendiri, UBTech menghasilkan robot Alpha S1 yang memegang rekod dunia jumlah robot terbesar melakukan tarian secara serentak.