MSI Claw A8 Mungkin Tiba Di Malaysia Pada Penghujung Ogos Ini
Nazrin
Kami telah melaporkan tentang pelancaran dan juga jualan untuk konsol PC mudah-alih terbaru daripada MSI, iaitu MSI Claw A8 yang sudahpun dilancarkan di China, dan pembukaan pra-tempah konsol tersebut di pasaran Eropah.
Terkini, kami telah menerima pengesahan daripada rakan kami di MSI Malaysia yang mengatakan bahawa konsol tersebut kini sedang melalui proses untuk mendapatkan pengesahan daripada SIRIM, dan jangkaan mereka ialah konsol tersebut akan mula dijual di pasaran Malaysia sekitar penghujung bulan Ogos ini.

Seperti yang sedia maklum, spesifikasi konsol MSI Claw A8 termasuklah penggunaan paparan skrin LCD 8.0 inci dengan kadar segar semula 120Hz dan dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 Extreme dengan 24GB memori LPDDR5X dan juga storan dalaman yang kebarangkaliannya akan hadir dengan saiz 512GB ataupun 1TB, yang kami tidak ketahui lagi setakat ini.

Mereka juga tidak mengumumkan tentang pilihan warna untuk MSI Claw A8, tetapi seperti yang sedia maklum juga, konsol tersebut hadir dalam pilihan warna putih dan hijau.
Buat masa ini pihak MSI Malaysia masih belum membuat sebarang pengumuman mengenai ketibaan konsol tersebut, yang mungkin hanya akan dilakukan setelah pengesahan daripada pihak SIRIM selesai dilakukan.