Windows 11 Dikemaskini Dengan Ciri AI Baharu Copilot Vision, Click to Do dan Banyak Lagi
Effi Saharudin
Microsoft memberikan kemas kini beberapa ciri kecerdasan buatan (AI) baharu di komputer Windows 11 dan Copilot+ PC. Kita mulakan dengan Copilot Vision yang membolehkan Copilot membantu pengguna menyelesaikan beberapa tugasan yang terpapar pada skrin. Ia akan melihat skrin dan memberikan saranan berdasarkan soalan yang diberikan oleh pengguna. Copilot Vision boleh digunakan pemilik komputer Windows 11 di Amerika Syarikat sahaja ketika ini.
Seterusnya Click to Do pula memahami konteks apa yang sedang dipaparkan pada skrin sebelum memberikan cadangan yang relevan. Sebagai contoh jika mengenali emel tertentu, ia boleh menghantarnya terus ke Teams. Jika buku sedang dibaca pula, ia boleh mendengar bacaan pengguna sebelum memberikan saranan kelancaran dan sebutan yang betul. Ia turut boleh melakukan rumusan teks yang panjang. Ciri Click to Do hanya boleh digunakan di Copilot+ PC.

Dalam Photos pula ciri Relight boleh digunakan untuk menyunting gambar secara automatik. Sumber cahaya baharu boleh ditambah dan gambar 2D yang diubah dengan sistem lampu AI Relight. Ciri ini hanya untuk Copilot+ PCs dengan cip siri Snapdragon X dan akan diberikan kepada Copilot+ PC dengan cip AMD dalam masa terdekat.
Pada Paint pula, terdapat ciri menghasilkan pelekat secara automatik. Pengguna boleh memilih sendiri objek yang ingin dijadikan pelekat atau menggunakan kecerdasan buatan yang memilihnya sendiri. Ciri tangkapan skrin Snipping Tool juga diperkasakan dengan AI menerusi ciri Perfect Screenshot dan Color Picker. Perfect Screenshot akan memproses tangkapan skrin dan memotong bahagian yang tidak diperlukan. Color Picker pula membolehkan warna dipilih dengan pantas dalam format HEX, RGB atau HSL.

Akhir sekali ejen bantuan dalam Settings juga diberikan. Pengguna boleh melakukan carian dalam Settings menggunakan bahasa biasa. Contohnya “bagaimana mengubah resolusi skrin ke 4K” dan ia akan segera memberikan menu dalam Settings yang berkenaan. Semua ciri-ciri di atas telah diumumkan sebelum ini dengan ia diberikan kepada pengguna Windows Insider sahaja sebelum ini. Microsoft berkata kemas kini ciri-ciri ini akan mula diterima Windows 11 dan Copilot+ PC secara berperingkat.