Cip Kenderaan Tesla Akan Dikeluarkan Oleh Samsung Sehingga 2033
Effi Saharudin
Samsung menandatangani kontrak dengan Tesla untuk menghasilkan cip bagi keperluan Tesla sehingga 20233 menurut laporan Bloomberg. Kontrak ini bernilai 22.76 trillion won (~RM 70 bilion) dengan pada asalnya identiti syarikat ini dirahsiakan atas permintaan Tesla sendiri.

Kontrak ini sedikit sebanyak akan dapat membantu perniagaan faundri Samsung yang terjejas teruk berikutan kegagalan mendapatkan kontrak menghasilkan cip daripada Qualcomm serta Google juga berpindah ke TSMC. Tidak seperti keperluan cip AI dan peranti pintar, cip untuk kegunaan automotif tidak memerlukan teknologi fabrikasi paling terkini.
Isu yang dihadapi oleh Samsung Semiconductor ialah peratusan penghasilan cip 3nm dan 2nm mereka yang lebih rendah berbanding teknologi sama oleh TSMC. Sungguhpun Samsung menjadi syarikat pertama menghasilkan cip 3nm GAA, mereka tidak menerima jumlah pelanggan yang diharapkan dengan cip Exynos 2500 menjadi cip yang paling dikenali menggunakan teknologi ini.