Pengenalan Vivo V60 Mula Diacah Secara Rasmi
Amy Maizuraa
Siri vivo V dikenali sebagai pilihan ideal untuk fotografi portrait terutama bagi mereka yang ingin merasai kehebatan sistem kamera ZEISS pada peranti kelas pertengahan. Ia menawarkan alternatif kepada siri X dengan harga lebih berpatutan.

Terbaru, model V60 mula diacah secara rasmi menerusi laman pengiklanan baharu. Walaupun tarikh masih dirahsiakan, penampilan awal memberi petunjuk bahawa pelancaran mungkin tiba lebih awal daripada dijangka. Ia masih mengekalkan tubuh melengkung yang turut meminjam elemen daripada model X200 FE khususnya modul kamera bujur dengan satu lensa berasingan.

Tiga warna disediakan termasuk Auspicious Gold, Moonlit Blue dan Mist Gray dengan masing-masing tampil unik dalam kelasnya. Kamera ZEISS juga dikekalkan dalam peranti menandakan kesinambungan kepada prestasi tangkapan portrait yang baik. Lebih menarik, peranti dijangka menyokong kemampuan zum sehingga 100X seiring dengan trend industri telefon pintar semasa.
Meskipun hadir dalam tubuh yang nipis, peranti ini dimuatkan dengan bateri 6500mAh. Dengan ini, ia dijangka boleh menawarkan fungsi yang seimbang diantara prestasi serta gaya secara menyeluruh.