Jenama Pebble Hidup Semula Selepas Hak Tanda Dagang Dikembalikan Kepada Pengasas Jenama
Nazrin
JIka anda pernah memiliki jam tangan pintar Pebble, ataupun seorang peminat jenama jam tangan tersebut, ada berita baik untuk anda. Eric Migicovsky, pengasas jenama jam tangan tersebut telah mengumumkan bahawa beliau telah menerima kembali hak tanda dagang untuk jam pintar tersebut.
Pebble merupakan salah sebuah jenama jam pintar yang pertama hadir ke pasaran dengan penawaran unik sebagai peranti boleh pakai yang bukan sahaja memperlihatkan masa dan tarikh, tetapi juga boleh digunakan untuk melihat notifikasi tanpa perlu mengaktifkan peranti pintar anda.
Pebble kemudiannya telah diambil-alih oleh FitBit pada tahun 2016, dan Eric juga telah mencipta siri jam pintar baru yang dinamakan rePebble yang kini hadir dengan peranti Core 2 Duo dan Core Time 2. Kini dengan jenama FitBit tidak lagi menghasilkan sebarang peranti baru, beliau juga nampaknya telah berjaya untuk mendapatkan semula hak tanda dagang untuk jenamanya.
Dalam sebuah pengumuman, Eric mengatakan dengan kembalinya penjenamaan Pebble, beliau juga telah membuat keputusan untuk menamakan semula peranti-peranti Core 2 Duo dan Core Time 2 kepada Pebble 2 Duo dan Pebble Time 2.
Produk-produk ini sepatutnya mula dijual dan dihantar kepada pelanggan pra-tempahan pada awal bulan Julai, tetapi Eric mengatakan dengan penjenamaa semula jam-jam pintar ini, beliau juga mahu mengambil masa untuk memperbaiki mutu beberapa ciri seperti ketahanan air dan perisian Pebble untuk platform Apple iOS dan Android.
Buat masa ini, beliau masih belum menetapkan tarikh bilakah peranti-peranti ini akan keluar ke pasaran, tetapi dengan penjenamaan semula peranti-peranti ini ia mungkin akan ke pasaran dalam satu ke dua bulan lagi.
[sumber]Eric Migicovsky[/sumber]